Laman Utama

Timbalan Menteri Pertahan Cuti 55 Hari, Lawat Keluarga Di New Zealand - “Hampir Setahun Tak Jumpa”

gempak
Azwa Rahman
01/03/2021
11:08 MYT
Sponsor Banner
Timbalan Menteri Pertahan Cuti 55 Hari, Lawat Keluarga Di New Zealand - “Hampir Setahun Tak Jumpa”
Nama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar menjadi buah mulut di laman sosial apabila bercuti selama 55 hari di New Zealand baru-baru ini.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, Santhara menjelaskan, keberadaan beliau di New Zealand sejak Disember lalu selepas mematuhi segala prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain memohon cuti tahunan dan cuti tanpa gaji.
Tambah beliau, permohonan bercuti selama 55 hari itu dibuat melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa selain mendapat kelulusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas faktor menziarahi keluarga di negara berkenaan.
"Tujuan saya ke luar negara bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.
"Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab saya perlu bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa,” jelasnya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Ahli Parlimen Segamat itu bagaimanapun, berkata, komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab adalah sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan kebajikan rakyat di Wilayah Persekutuan dan Parlimen Segamat terus terpelihara.
"Saya telah menghadiri setiap hari persidangan Dewan Rakyat dengan rekod kehadiran 100 peratus. Saya juga telah menghadiri persidangan Dewan Negara untuk penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 pada 22 Disember 2020,” kata beliau lagi.
Setiba di negara berkenaan, Santhara berkata, beliau menjalani kuarantin sehingga 9 Januari 2021.
Dalam pada itu, Santhara berkata, sebagai timbalan menteri dan Ahli Parlimen, beliau sentiasa menjunjung tinggi setiap arahan dan peraturan bagi pelantikannya dan mengikuti semua proses dan prosedur yang ditetapkan.
Permohonan cuti rehat itu katanya disokong Menteri Wilayah Persekutuan dan kelulusan Perdana Menteri, berdasarkan kelayakan cuti rehatnya seperti yang ditetapkan dalam peraturan pelantikan jawatan berkenaan.
"Selain itu, saya juga diluluskan cuti tanpa gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan cuti rehat saya," katanya yang turut menjelaskan pemergian ke luar negara itu mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.
Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live