Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tingkah Laku Jemaah Haji Dipuji, Malaysia Dapat Tambahan 10,000 Kuota

Zulaikha Yusof
10/03/2021 21:53 MYT
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan berita baik apabila kerajaan Arab Saudi bersetuju memberikan tambahan 10,000 kuota haji untuk jemaah Malaysia.

Menurut Muhyiddin, beliau mengemukakan permohonan itu ketika menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada Selasa (Rabu di Malaysia).

"Apabila situasi haji kembali normal selepas pandemik Covid-19, kita akan mendapat kuota haji itu untuk jemaah kita," katanya kepada Bernama.

Tambah Muhyiddin, Putera Mahkota memberi jaminan dan jawapan positif terhadap permohonan yang dibuat.

Malah, Arab Saudi sentiasa mengalu-alukan jemaah Malaysia yang terkenal dengan tingkah laku yang baik, berdisiplin dan kurang menimbulkan masalah.

Dalam pada itu, Muhyiddin memohon agar rakyat Malaysia bersabar kerana bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tahun lepas sangat terhad berikutan pandemik global itu.

Mekah dan Madinah juga masih dalam proses perluasan bagi menampung lebih ramai jemaah pada masa hadapan.

Berdasarkan laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji untuk setiap negara sebanyak 0.1 peratus daripada jumlah penduduk dan kuota haji untuk Malaysia pada masa ini ialah 31,600.



Sumber: Bernama
Foto: Berita Harian

#Malaysia #Haji #Jemaah #Kuota