Berita

Tingkatkan Amalan Gaya Hidup Sihat & Bersenam Di GOIFEX

gempak
Syafiqah Jalal
10/11/2019
03:38 MYT
Sponsor Banner
Tingkatkan Amalan Gaya Hidup Sihat & Bersenam Di GOIFEX
Bersenam dua atau tiga kali seminggu mungkin sesuatu yang sukar bagi segelintir warga kota yang sibuk dengan kerjaya, apatah lagi jika diajak melakukan aktiviti senaman setiap hari.
Menurut laporan Astro Awani, hujung minggu ini, GOIFEX mengajak orang ramai untuk menyertai acara sukan, kecergasan dan gaya hidup yang diadakan buat julung kali di Malaysia.
Mengangkat tema ‘Fit Friendship’, GOIFEX memberikan fokus kepada kepentingan gaya hidup yang sihar menerusi aktiviti sukan berkumpulan dan latihan berfungsi.
Selain menyediakan perkhidmatan dan produk kesihatan, GOIFEX juga membawakan pelbagai aktiviti senaman seperti Strong by Zumba, senaman HIIT, Kejohanan Kettlebell dan K-Pop Fitness.
Bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, GOIFEX turut menampilkan atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani dan Gianni Subba yang mengadakan bengkel percuma teknik seni mempertahankan diri.
Menurut Agilan, bengkel tersebut bertujuan untuk memberitahu orang ramai bahawa MMA boleh diamalkan sebagai senaman dan bukan sahaja khusus kepada atlet MMA.
“Tujuannya adalah untuk menunjukkan kepada orang ramai bahawa MMA boleh digunakan untuk menyihatkan badan dan bukannya hanya bagi mereka yang ingin menjadi atlet.
“Seni bela diri campuran boleh dijadikan sebagai rutin harian untuk bersenam dan cara untuk kekal sihat,” katanya.
Pemikiran sama juga turut dikongsi Subba yang berkata MMA sebenarnya merupakan suatu aktiviti yang menyeronokkan.
“GOIFEX merupakan inisiatif yang baik untuk memberikan peluang kepada orang bekerjaya untuk datang ke sini.
“Saya rasa Malaysia tidak kuat sebagai sebuah komuniti kecergasan tetapi pada hari ini, saya menunjukkan sedikit teknik asas dalam bengkel ini seperti apa yang kami lakukan dalam MMA, hanya teknik asas tumbukan.
“Saya ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa MMA merupakan aktiviti yang menyeronokkan,” ujarnya.
Peserta yang ditemui amat gembira kerana dapat mengeluarkan peluh dan teruja untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti-aktiviti yang lain sepanjang berlangsungnya acara GOIFEX ini.
“Jangan lepaskan peluang ini kerana ia penting untuk kesihatan kami semua dan kami terlalu fokus kepada kerjaya kami dan selalu mengelak untuk pergi ke gim untuk bersenam. Oleh itu, ambil peluang keemasan ini,” kata peserta, Melvin Lee, yang menghadiri acara Strong by Zumba pada Sabtu.
Bagi seorang lagi peserta, Carolyna Sila pula, bayaran tiket ke acara GOIFEX itu berbaloi memandangkan dia boleh menyertai sebanyak aktiviti yang mungkin.
“Mereka menggabungkan banyak jenis senaman dan beberapa senaman yang saya tidak pernah cuba.
“Harga tiketnya tidak mahal dan berpatutan kerana saya boleh mencuba kesemua senaman yang ada.
“Jadi saya tahu mana senaman yang saya suka dan boleh menyertainya kelak,” kata Carolyna.
Penganjur GOIFEX, World Net Exhibition Pte Ltd yang mendapat kerjasama daripada rakan media Astro selaku media rasmi, menyasarkan 10,000 pengunjung yang hadir ke acara yang diadakan dari 8 hingga 10 November.
Sumber: Astro Awani
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live