Laman Utama
“Tipulah Kalau Kami Tak ‘Gaduh’…” – Yonnyboii, ZynAkal & Asyraf Nasir Puas Hati Dengan ‘Tak Sangka’
Penyanyi rap Asyraf Nasir mengakui berlaku pertikaman lidah ketika menghasilkan lagu Tak Sangka bersama dua sahabatnya Yonnyboii dan ZynAkal.
Bagaimanapun kata Asyraf dia tidak menyangka yang mereka mampu menyiapkan karya tersebut dengan baik dan sempurna.
“Tipulah kalau saya cakap kami tak ‘argue’…Memang ada gaduh-gaduh sikit tapi sebab kerja sahaja. Selepas itu kami okay. Biasalah, bukan mudah untuk kita siapkan sesebuah karya.
“Lagi pula, masing-masing mahukan hasil yang terbaik untuk diperdengarkan kepada orang di luar sana kan.
“Apa yang boleh saya katakan, Tak Sangka adalah karya luar biasa daripada kami bertiga. Lagu ini susunan dan diterbitkan bersama SeaTravel dan Yonnyboii sendiri.
“Lagu ni segar dan muziknya sangat lantang meraih perhatian atau "in-your-face". Ditambah pula dengan karakter masing-masing dalam lagu ini yang juga agak kuat, membuat dentuman jantung berdebar dan rasa teruja seolah ingin melompat setinggi-tinggi yang boleh.
“Lagu ini ada pendirian tegas, jadi jika ingin menyuarakan sesuatu dengan lantang, inilah lagunya,” katanya teruja.
Sementara itu ZynAkal berkata, dia tidak menyangka yang mereka mampu lakukan apa yang sedang mereka kerjakan sekarang, khasnya di bidang muzik.
“Saya rasa lagu ini sangat menarik dan saya tak pernah buat lagu sebegini. Lirik yang saya tulis diilhamkan dari sikap manusia sekarang yang suka bermuka-muka, jadi saya ekspresikan dalam lagu.
“Saya harap semua orang boleh memahami konsep yang kami paparkan ini selain menerima kolabrasi kami bertiga,” jelas ZynAkal.
Yonnyboii pula menganggap pengalam bekerja dengan Asyraf dan ZynAkal sebagai sesuatu yang menakjubkan.
“Pada awalnya kami hanya bermain dengan idea untuk menghasilkan lagu yang berunsur K-Pop namun selepas pembukaan daripada Zyn dan pengembangan idea oleh Asyraf berserta dengan pembabitan saya sendiri, terhasillah versi akhir Tak Sangka yang hebat ini, tanpa kami jangka.
“Proses penulisan hingga ke rakaman lagu ini mengambil masa sekitar lima jam secara keseluruhan.
“Pengalaman bekerjasama dengan mereka berdua sangat menakjubkan dan kami harap lagu ini boleh mencapai satu juta tontonan di laman YouTube,” ulas Yonnyboii tentang projek terbaru Def Jam Malaysia ini.
Seperti kebanyakan lagu di bawah Def Jam Malaysia, Tak Sangka turut menampilkan sebuah video muzik istimewa berkonsep animasi yang sesuai dengan keadaan masa kini.
Video muzik versi animasi itu diarahkan oleh Thaqif Saadon serta dibantu olah Hakeem Roshdi dan diterbitkan Atypical Visual dan Studio Firepulse dengan arahan seni daripada Imran Mansur bersama Sabrina Sofiadin sebagai pereka grafik.
Tak Sangka sudah boleh distrim di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music.