Tiru Aksi Filem, Kanak-Kanak 9 Tahun Lakukan 13 Kebakaran Bersiri
Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun bertanggungjawab ke atas beberapa siri kebakaran yang berlaku di Gang Amarta, Kelurahan Tipar, Kecamatan Citamiang, Sukabumi, Indonesia sejak beberapa hari lalu.
Ketua RW 06, Ajis Muslim berkata, kanak-kanak itu dipercayai membakar beberapa lokasi selepas terpengaruh dengan adegan terdapat dalam filem yang ditontonnya.
"Kanak-kanak itu memberitahu ada melihat video atau filem tetapi kita tidak dapat pastikan filem apa. Ada kemungkinan kanak-kanak itu terpengaruh selepas melihatnya.
"Bagaimanapun, kanak-kanak lelaki terbabit rajin solat dan dipercayai bertindak melakukan perbuatan tersebut disebabkan kurang pengawasan," katanya pada Jumaat.
Ajis memaklumkan, kanak-kanak tersebut ditahan oleh penduduk sekitar jam 4.30 pagi Jumaat ketika cuba melakukan satu lagi kebakaran.
Justeru, beliau memaklumkan, dia seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Sukabumi, AKBP Tony Prasetyo mengesahkan bahawa kanak-kanak itu masih bersekolah di peringkat sekolah rendah.
"Berdasarkan soal siasat awal, kanak-kanak tersebut mengaku meniru adegan dari filem yang sering ditontonnya di telefon bimbit," jelas beliau lagi.
Siri kebakaran bermula ketika waktu Maghrib pada Rabu di RW 06 dipercayai akibat pembakaran sampah kecil yang tidak disedari sebelum merebak membakar sebuah rumah berhampiran masjid selepas solat Isyak.
Kebakaran berulang pada waktu Subuh dan memuncak pada Jumaat apabila api muncul di beberapa lokasi dalam tempoh satu hari.
Secara keseluruhan, sebanyak 13 lokasi kebakaran dikenal pasti dengan tujuh daripadanya berlaku pada hari yang sama melibatkan kawasan RW 06 dan sempadan RW 05.
Sumber: Sinar Harian