Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors, Ifa Raziah, menafikan klip video lagu trionya bersama Zizi Kirana dan Bella Astillah bejudul ‘Starlela’ mempunyai persamaan dengan penyanyi popular Indonesia, Ayu Ting-Ting.

Menjawab dakwaan tersebut, Ifa memberitahu dia dan pengarah klip video ‘Starlela’, Cameo, menjadikan artis korea, BLACKPINK sebagai rujukan.

“Secara jujurnya saya tak pernah tengok pun klip video Ayu Ting-Ting seperti yang didakwa itu. Saya tengok BLACKPINK, sebab mahukan konsep K-Pop.

“Lagu-lagu dangdut dah lama saya tak dengar, apatah lagi menonton klip videonya. Lagu terbaru dangdut yang saya tahu ‘Lagi Syantik” nyanyian Siti Badriah.

“Jadi tak ada isu saya ambik idea dari salah sebuah muzik video Ayu Ting-Ting. Jujur saya katakan saya sukakan energi BLACKPINK dan itulah yang saya suntik ke klip video ‘Starlela.

"Lagipun saya suka warna-warni dalam video klip mereka’,” katanya kepada Gempak.



Mengulas tentang karya ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik ditulis oleh Zizi Kirana tersebut, Ifa berkata lagu ‘Starlela’ mengadunkan irama pop dan latin.

“Mendengarkan muziknya sahaja dah memberi semangat dan keceriaan kan?. Liriknya juga ‘catchy’ dan mudah diingat.

“Sengaja saya minta Hafiz buat sesuatu yang melambangkan ‘semangat’ dan lagu yang boleh dijadikan tema untuk apa-apa keraian.

“Maka terhasillah ‘Starlela’ yang saya ibaratkan sebagai peniup semangat golongan wanita untuk bangkit berdikari tanpa bergantung harap sepenuhnya terhadap lelaki.

“Itulah simbolik perjuangan kami bertiga demi menempatkan diri dalam bidang seni dan juga perniagaan,” katanya yang baru pulang dari festival Star Vendors Star Vendors yang diadakan di Sabah Trade Centre, Kota Kinabalu, Sabah pada 3 dan 4 Ogos lalu.

Ifa yang popular dengan lagu irama dangdut Ser Ser sebelum ini berkata, dia lebih selesa menghasilkan lagu mengikut permintaan semasa.

Kali terakhir Ifa merakam lagu ialah pada 2016, yang berjudul Terus Terang bersama Lawa Nie Geng.
Terbaru, Ifa bakal tampil dengan lagu pop bersama penyanyi Indonesia Reesa Herlambang.

Bagaimanapun menurut Ifa, itu tidak bermakna dia tidak lagi berminat dengan lagu-lagu berentak dangdut.

“Saya ni jenis versatil. Asalnya album pertama adalah pop dan lepas itu baru dangdut, Ser Ser. Saya ikut edaran masa saja. Apa yang menjadi permintaan ramai itu yang saya persembahkan.

“Insya-Allah, jika tidak ada aral saya akan masuk studio untuk solo dan lagu duet dengan Ressa Herlambang untuk runut bunyi bagi filem Indonesia, Jatuh Cinta, yang dijangka keluar bulan Oktober nanti,” ujarnya.