Viral
"Tiru Sebiji Hampir 100 Peratus!" - Bengang! Komposer Dakwa Band Indonesia Ciplak Lagu Tergantung Sepi
Komposer yang sedang meningkat naik, Sir Khan Danial mendedahkan sebuah band dari Indonesia, Symphony Band telah memplagiat lagu nyanyian Haqiem Rusli, Tergantung Sepi.
Malah katanya, lagu yang diberi judul baharu Pergi Saja itu cuma mengubah lirik sahaja sementara hampir keseluruhan melodi meniru lagu asalnya.
"Ramai sudah mesej saya berkenaan lagu Pergi Saja oleh Symphony band kejadah apa tak tahu.
"Lagu ini tiru sebiji melodi Tergantung Sepi hampir 100 peratus, berapa 'bars; jangan tanyalah dia langgar habis.
"Setelah disiasat, band baru ditubuhkan, YouTube channel baru buat 7 Sept tahun ini dan sememangnya mat-mat Indonesia ini cari nahas," tulisnya menerusi entri terbaharu di Instagram malam tadi.
Saran Sir Khan, pihak pengurusan yang telah menerbitkan lagu Tergantung Sepi seharusnya bertindak pantas bagi mengelakkan karya itu diperlekehkan sewenang-wenangnya.
"FMC Music sila ambil tindakan yang sepatutnya di bawah 'copyright infrigement' atau plagiaris.
"Kena tembak sikit mereka ni. Tak habis-habis rembat hasil usaha orang. Kebenaran tak minta. Semua langgar!" tambahnya.
Lagu Tergantung Sepi nyanyian Haqiem dicipta sepenuhnya oleh Gouffran & Ibnu dan pernah memenangi tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-32 tahun lalu.
Haqiem pula hanya memberikan tanda emoji tersenyum menerusi ruangan Instastoriesnya mengulang siar kenyataan daripada Sir Khan malam tadi.
Sementara itu, lagu Pergi Saja dicipta oleh komposer yang dikenali sebagai Rivi mengisahkan tentang sepasang kekasih yang terpaksa berpisah kerana menderita penyakit berbahaya.
Symphony Band dianggotai oleh lima ahli iaitu Angga Adriansyah (vokal), Jeihan Abdy (bass), Sapta (keyboard), Rivi Andrico (drum) dan Izmi Agung Nugraha (gitar).
Sehingga kini, muzik video lagu Pergi Saja telah ditonton lebih 3,000 pengunjung YouTube sejak dimuat naik pada 8 September lalu.