HIBURAN

Titiek Puspa Meninggal Dunia

Gempak 10/04/2025 | 11:19 MYT

Seniwati legenda Indonesia, Titiek Puspa, menghembuskan nafas terakhir di Jakarta, sekitar pukul 4.25 petang waktu tempatan, Khamis.

Penyanyi dengan nama sebenar Sudarwati itu meninggal dunia pada usia 87 tahun di Rumah Sakit Medistra Jakarta setelah menjalani prosedur pembedahan berikutan pendarahan otak.

Berita duka pemergian Titiek disahkan oleh penyanyi ternama, Krisdayanti, kepada Astro AWANI ketika dihubungi sebentar tadi.

"Ya, benar, Ibu Titiek baru sahaja menutup usia, di sebuah hospital di Jakarta. Saya kini dalam perjalanan mahu menziarahi Allahyarham," ujarnya.

Pada Mac lalu, Titiek dikejarkan ke hospital berkenaan kerana mengalami komplikasi akibat pembuluh darahnya pecah.

Difahamkan, pembedahan itu berjaya, namun keadaan kesihatan Titiek yang masih belum stabil membuatkannya terus menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, portal berita Detikcom memetik kata anak pertamanya, Petty Tunjungsari, yang mengesahkan khabar pemergian ibunya. Dia menjelaskan kejadian bermula saat Titiek sedang melakukan proses penggambaran untuk program televisyen pada 26 Mac lalu.

Sepanjang kariernya, antara album yang pernah dihasilkan Titiek termasuklah Kisah Hidup (1963), Mama (1964), Kupu-Kupu Malam (1977), Apanya Dong (1982), Horas Kasih (1983) dan Virus Cinta (1997).

Titiek juga pernah aktif berlakon menerusi sinetron dan filem seperti Minah Gadis Dusun (1965),

Di Balik Cahaya Gemerlapan (1976), Karminem (1977), Rojali dan Juhela (1980) dan Koboi Sutra Ungu (1982).

Dua lagu Puspa, Kupu-Kupu Malam dan Bing telah dipilih sebagai lagu Indonesia terbaik sepanjang zaman oleh Rolling Stone Indonesia pada 2009.

Sumber: Astro AWANI

#Meninggal Dunia #Titiek Puspa #Seniwati Lagenda Indonesia