Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi pengalamannya menjalani proses persenyawaan in-vitro (IVF) dalam usaha bagi mendapatkan cahaya mata kedua.

Menerusi saluran YouTube, Siti atau lebih mesra disapa Tokti berkongsi video tersebut bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-42 pada hari ini.

Menerusi video berdurasi 16 minit itu, menunjukkan perjalanan daripada persediaan Tokti bagi mendapatkan bayi kedua sehinggalah pada tarikh beliau disahkan hamil oleh doktor.

“Proses IVF ni sangat mendebarkan sebab saya pernah melaluinya beberapa kali, yang gagal tu banyak kali la. Jadi bila kali kedua ni hati lebih berdebar-debar sebab tak tahu Allah kurniakan lagi tak peluang untuk positif,” ulas Tokti.



Tokti juga meluahkan kehamilan kedua ini berdepan sedikit masalah gara-gara kesan penbedahan semasa melahirkan Siti Aafiyah.

“Saya berserah 50/50 sebab kali kedua nak proses masukkan baby tu pun, ada dugaan dia.

“3 Julai 2020 saya menjalani pemeriksaan kedua, walaupun ada sedikit masalah iaitu kesan pembedahan dulu menyebabkan pendarahan.

“Saya akan masukkan baby pada 14 Ogos, hari Jumaat. Proses kali ini lebih ringkas sebab baby dah ada, sama tarikh dengan Aafiyah,” cerita beliau lagi.

Selepas melakukan proses ‘embryo transfer’, Tokti berkongsi beberapa tips yang diamalkan bagi memastikan proses mendapatkan bayi berjalan lancar.

“Dalam masa dua minggu selepas baby dimasukkan dalam rahim, saya kena terhadkan pergerakan saya, berjalan walaupun dalam bilik, saya jalan pelan-pelan, kepit, macam orang dalam pantang.

“Dan solat pun saya solat duduk, makan tak boleh pedas, elakkan makan makanan separuh masak, semuanya untuk kebaikan dan inilah yang saya amalkan sewaktu saya dalam proses mendapatkan Aafiyah,” ujar beliau lagi.

Tokti turut memaparkan hasil keputusan kit pengesan kehamilan yang tertera perkataaan ‘pregnant’ dan pada tarikh 14 September 2020, Tokti sebak menahan air mata kesyukuran apabila disahkan hamil oleh doktor melalui ujian darah.

“Bila pertumbuhan baby semakin hari semakin membesar, rasa sama macam Aafiyah dulu cuma tinggal lagi masa Aafiyah dulu macam takde la nak menangis banyak sangat, kali ni ada menangis lebih sikit la.

“Sekarang bila ada cahaya mata dua orang, Alhamdulillah dah melengkapkan saya sebagai seorang ibu,” jelas Tokti lagi.

Sehingga kini, video tersebut telah menerima hampir 62,000 tontonan daripada wargamaya.

Pada 1 Disember tahun lalu, Tokti mengumumkan dirinya hamil empat bulan dan dijangka akan melahirkan cahaya mata kedua pada bulan April tahun ini.

Tokti berkahwin dengan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos 2006.

Hasil perkongsian hidup pasangan ini dikurniakan anak perempuan bernama Siti Aafiyah pada 19 Mac 2018.