Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya bermula Sabtu hingga Ahad, sempena sambutan perayaan Deepavali.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor.

"Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan kesemua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali.

"Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan," katanya dalam satu kenyataan.

Pemilihan tarikh ini juga bertujuan bagi mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar.

Selain itu, ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas serta keperluan logistik lain yang melibatkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

Anggaran jumlah trafik dalam masa dua hari tersebut adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

Sumber: Astro Awani