Tolak Hadiah Rumah, Tiket Percuma Taman Tema, Penerjun 14 Tahun China Impi Buka Pasar Raya

Azwa Rahman
Ogos 17, 2021 13:15 MYT
Penerjun sensasi Olimpik China, Quan Hongchan mendedahkan impian terbaharunya sejak memenangi pingat emas pada Tokyo 2020 adalah untuk membuka sebuah pasar raya.
Memetik sebuah laporan media China, penerjun berusia 14 tahun itu sukakan makanan ringan dan mengimpikan untuk membuka kedai runcit namun Hongchan berkata kedai baharunya harus "lebih besar".
“Saya mahu membuka kedai yang lebih besar. Sebuah pasar raya yang lebih luas berbanding kedai dengan banyak makanan ringan dijual," katanya.
Terdahulu, Hongchan mencuri tumpuan seluruh dunia apabila memperoleh markah perfect 10 menerusi terjunan 10m platform sehingga melayakkannya menerima pingat emas.
BACA: Anak Petani Raih Emas, Atlet China 14 Tahun Ini Catat Markah 'Perfect 10' Sukan Terjun

FUHH !! QUAN HONGCHAN PERFECT 10 !! #Olympics pic.twitter.com/2PDJqbXKlX

— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) August 5, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Kisah sedih Hongchan pula tular apabila wang kemenangan pingat emas tersebut mahu digunakan untuk membantu rawatan ibunya yang sakit.
Minggu lalu, bapanya Quan Wenmao memberitahu media tempatan mereka sekeluarga ditawarkan 200,000 yuan (RM130,000) dan kediaman percuma namun mereka menolaknya.
Bukan itu sahaja, sebuah hospital tempatan turut menawarkan rawatan percuma buat ibu dan datuknya yang sakit.
Hongchan dan keluarga juga turut ditawarkan tiket percuma seumur hidup ke taman tema, zoo serta beberapa buat resort.
Hadiah-hadiah tersebut juga turut ditolak oleh bapanya.
“Saya berterima kasih kepada mereka atas segala tawaran. Tetapi saya tidak mengambil apa-apa,” ujar bapanya selepas tiga hari anaknya memenangi pingat emas.
#Quan Hongchan #Atlet 14 tahun Olimpik #Pasar raya China