Pakar bedah, Dr. Amalina Che Bakri menegaskan bahawa dia tidak pernah mempromosikan mana-mana jenama penapis udara sebelum ini.

Penjelasan itu dibuat berikutan terdapat segelintir pihak penjual penapis udara menggunakan video dan ciapannya di Twitter bagi tujuan promosi produk mereka.

"Kepada penjual penapis udara, tidak kiralah apa pun jenama, jangan memandai-mandai menggunakan video dan tweet saya untuk mempromosikan produk anda.

"Saya tidak pernah mempromosikan mana-mana jenama penapis udara," tulisnya menerusi Twitter.

Dalam pada itu, Amalina juga memberi amaran agar pihak yang dimaksudkan berhenti melakukan perkara itu atau dia akan melaporkan kepada pihak berkuasa.

"Tolong hentikan atau saya buat laporan kepada pihak berkuasa," tulisnya lagi.

Meninjau respon netizen di ruang balas, rata-rata mereka meninggalkan reaksi berbeza, ada juga yang menyarankan Amalina untuk terus melaporkan perkara itu sebelum mendatangkan masalah buruk.