"Tolong Jangan Komen Benda B*doh” - Uqasha Senrose Terkilan Wujud Pihak Yang Mempersendakan Insiden Suami Dipukul
13/03/2023 02:00 MYT
Pelakon Uqasha Senrose meluahkan rasa terkilan dengan sesetengah pihak yang membuat andaian tidak betul susulan insiden suaminya, Kamal Adli dipukul sehingga cedera parah dalam satu kejadian di Singapura, semalam.
Kata Uqasha, 30, biarpun individu yang memukul suaminya itu merupakan warganegara Singapura, namun dia sesekali tidak menyatakan bahawa semua rakyat negara itu mempunyai sifat ‘jahat’ sedemikian.
Malah tegas aktres itu, sekiranya tiada perkara baik untuk dikatakan, dia menasihati orang ramai agar mendiamkan diri.
“Maaf kalau kali ini aku jadi mulut jahat atau puaka! Suami aku kena pukul dengan orang Singapura, memang warga Singapura. Aku sendiri tengok kad pengenalan dia.
“Tapi aku tak cakap semua orang Singapura jahat atau whatsoever! Lelaki yang libas suami aku pakai cota besi, dia siuman dan normal!
“Kalau tiada benda yang elok atau baik nak cakap jangan cakap apa-apa. Suami aku berdarah depan mata aku. Aku isteri aku trauma, menggigil.
“Tolong jangan comment benda bodoh!,” luahnya menerusi satu hantaran di Instagram Stories miliknya.
Terdahulu, Uqasha memuat naik video pendek di Instagram yang memaparkan dirinya sedang menangis di hospital dan memaklumkan suaminya telah diserang oleh seorang individu lelaki tidak kenali sehingga mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala.
Menurut Uqasha, ketika kejadian ada seorang lelaki yang mencari suaminya. Bagaimana pun, dia menyangka lelaki tersebut merupakan peminat Kamal yang ingin mengajak bergambar bersama.
Namun, secara tiba-tiba lelaki itu mengeluarkan cota besi daripada poketnya sebelum bertindak memukul Kamal.
Difahamkan, Kamal kini sedang menerima rawatan di hospital Singapura dan terpaksa menjalani pembedahan.