Penyanyi terkenal, Ning Baizura menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen apabila memuat naik satu hantaran di Instagram berbaur amaran kepada pihak tertentu.

Dalam entri tersebut, Ning atau nama sebenarnya, Ning Baizura Sheikh Hamzah, 45, meminta pihak berkenaan daripada berhenti mengikutinya di Instagram sekiranya hanya mempunyai agenda tertentu.

"Berhenti daripada mengikuti saya jika anda kay poh chee (sibuk dengan hal orang lain) dan unfollow kemudian follow.

"Anda fikir saya tak tahu kenapa anda begitu sebok?," katanya dalam hantaran yang dimuat naik hari ini.

Pada masa sama, pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu turut menutup ruangan komen dalam posting berkenaan.



Gempak cuba menghubungi Ning sendiri, namun panggilan telefon dan kiriman mesej yang dikirimkan kepadanya masih belum berjawab sehingga artikel ini ditulis.

Bagaimanapun, dalam entri tersebut, Ning turut memberi amaran agar pihak berkenaan tidak berlagak sebagai seorang yang mempunyai nama besar.

"Tolonglah jangan perasan kau superstar hanya kerana kawan-kawan kau selebriti...bukan kau ya!! ," tulisnya.

Di ruangan kapsyen, Ning turut menyifatkan perkongsiannya itu sebagai satu peringatan buat rakan seindustrinya.

"Amaran ada banyak orang macam ni sekarang! Amaran peringatan kepada semua rakan selebriti saya! Siapa makan cili memang terasalah pedasnya!!," pesannya.

Pelantun lagu hit Beribu Sesalan itu mempunyai lebih 325,000 pengikut di akaun Instagram miliknya, @ningdalton.