GAYA HIDUP
Tomok, Mawi & Sharul Aimy Turun Padang Suntik Semangat Anak Muda Melalui “Gamechangers: Antara Budaya dan Sukan”
Asyraf Roslan
21/06/2025
|
00:55 MYT
Penyanyi dan pelakon, Tomok meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang untuk berkongsi pengalamannya dalam industri seni bersama para pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurut Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, universiti merupakan platform terbaik untuk menyampaikan inspirasi kepada generasi muda yang bakal mewarnai industri kelak.
“Saya datang ke sini untuk memenuhi satu jemputan daripada rakan wartawan selama ini menyokong saya dan tak salah untuk saya kongsikan sedikit pengalaman saya dalam industri seni.
“Saya rasa universiti adalah tempat yang baik untuk kita kongsikan pengalaman untuk generasi baharu sekarang ni. Majlis yang sangat santai tapi cukup dengan rasa,” kata Tomok.
Sementara itu, penyanyi dan penyampai radio, Mawi turut menyatakan sokongan terhadap program tersebut yang disifatkannya sebagai pengisian bermanfaat buat anak muda.
“Pengisian program ini sangat bagus untuk orang-orang muda bangkitkan semangat mereka kembali. Semoga segala perkongsian yang diberikan oleh semua tetamu itu dapat memberi manfaat kepada mereka,” ujarnya kepada Gempak.
Selain Tomok dan Mawi, Ratu Etnik Malaysia iaitu Noraniza Idris turut hadir memeriahkan acara tersebut.
Seminar ini juga menghimpunkan ikon sukan negara seperti Al Jufferi Jamari, Norshahrul Idlan Talaha, Adli Hafidz, Amisha Azrilrizal, Ali Yaakub dan Sharul Aimy yang akan berkongsi pengalaman mereka menempuh cabaran budaya ketika mewakili Malaysia.
Secara keseluruhan, Gamechangers memberi fokus kepada pemerkasaan mahasiswa dan peserta untuk menjadi warganegara global yang berakar kepada nilai tempatan.
Sekadar info, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan sebuah seminar berimpak tinggi bertajuk “Gamechangers: Antara Budaya dan Sukan” yang akan berlangsung pada 19 Jun 2025 di Chow Kit @ FSSK, UKM Bangi.
Program bertemakan “Dari Gelanggang ke Panggung Dunia: Cerita Budaya dan Sukan Malaysia” itu merupakan inisiatif pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi bagi Kursus Seminar Komunikasi Antarabudaya (SKKP6063).