Tonton Ola Bola The Musical Secara Percuma Di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak & Pahang

Rozaimi Zubaidi
Ogos 14, 2019 10:33 MYT
Selepas dua tahun dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur, Ola Bola The Musical bakal menemui penonton di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Pahang.
Menurut pengarah Ola Bola Muzikal, Puan Sri Tiara Jacquelina, pementasan kali ini adalah bertujuan memberi peluang kepada orang ramai yang tinggal diluar Kuala Lumpur untuk merasai pengalaman menyaksikan Ola Bola Muzikal secara percuma.
"Sebelum ini, ramai yang memberitahu saya bahawa mereka tinggal jauh dan tidak mendapat peluang untuk datang menyaksikan Ola Bola Muzikal di Istana Budaya.
"Jadi bersempena dengan Hari Kebangsan dan Hari Malaysia kami mengambil peluang untuk memberi pengalaman yang luar biasa kepada mereka yang tinggal di empat negeri ini.
"Bulan merdeka ini adalah peluang untuk saya menyatukan semua bangsa dan golongan kaum untuk berkumpul bersama-sama menyaksikan Ola Bola The Musical dalam menaikkan semangat mereka akan cintakan negara.
"Orang ramai boleh menonton Ola Bola The Musical secara percuma di empat lokasi yang dipilih dan merasai sendiri pengalaman menonton Ola Bola secara langsung di atas pentas," katanya kepada Gempak.
Tiara berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Ola Bola Merdeka Tour, di Matic, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ola Bola Merdeka Tour bakal dipentaskan di:
Pulau Pinang (Majestic Theatre) - 31 Ogos 2019
Kuching Sarawak (Stadium Perpaduan Kuching) - 6 hingga 8 September 2019
Sabah (Kompleks JKKN Sabah) - 16 September 2019
Kuantan, Pahang (Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang) - 21 September 2019
Untuk maklumat lanjut mengenai Ola Bola Merdeka Tour, sila layari laman web www.olabolamusical.com dan sosial media @enfinitimy.
#Ola Bola The Musical