Hiburan
Tontonan Meningkat, Astro Komited Menghiburkan Rakyat Malaysia Sepanjang PKP
Firma penyelidikan terkemuka, MIDF Research berpendapat tempoh PKP dijangka akan membantu memacu penggunaan kandungan dan pembelian dalam talian daripada platform Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro).
Memetik laporan Borneo Post, peningkatan tontonan kandungan Astro telah mula dilihat dan ia dijangkakan akan memberi impak kepada kenaikan langganan di masa akan datang.
Astro juga akan mendapat manfaat daripada jualan yang lebih besar menerusi pelbagai platform Astro seperti Astro Go, NJOI dan Go Shop.
Selain itu, memetik laporan Bernama, pendaftaran yang dijangka menggalakkan daripada pelanggan bukan Astro untuk Astro Go semasa tempoh PKP yang mungkin menjadi pelanggan berbayar boleh memberi prospek yang baik kepada kesejahteraan kumpulan itu.
"Kami turut menjangka terdapat permintaan yang meningkat terhadap set-top-box (STB) dan Ultra Box Astro pada suku kedua selepas PKP berdasarkan tempahan yang baik sejak pelancarannya," katanya.
Selain itu, MIDF Research kekal positif mengenai prospek terhadap Astro yang terus menunjukkan kemajuan ke atas pelan pengoptimuman kos selain terus mencatatkan keuntungan melalui pelbagai platform.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Astro dengan harga sasaran yang disemak semula pada RM1.04 daripada RM1.84 sebelum ini.
"Kami yakin momentum pendapatan kumpulan itu sebahagian besarnya akan didorong oleh struktur kos yang lebih baik pada masa depan.
"Sementara itu, purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) TV berbayar itu juga berjaya kekal pada sekitar RM100 terutamanya melalui penggunaan yang lebih tinggi daripada platform On Demand VOD, OTT (iaitu Astro Go) dan NJOI," katanya.
Dari segi penilaian, saham dilihat menarik berikutan ia kini diniagakan pada 1.5 kali SD-diskaun kepada nisbah purata harga kepada pendapatan dua tahun sebanyak 11.7 kali.
"Kami menjangka ini akan meningkatkan peluang pengewangan untuk segmen tv berbayar Astro.
"Dengan hasil dividen yang menarik sebanyak 10.8 peratus, kami mengekalkan saranan ‘beli’ kami ke atas Astro," katanya.
Sehingga 26 Mac jam 10 pagi, Astro meningkat tiga sen atau 3.61 peratus kepada 86 sen dengan 417,000 saham bertukar tangan.
Sumber: Borneo Post, Bernama
Must-Watch Video