Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Top 10 Lagu-Lagu Tempatan Menggunakan Nama Wanita

Ahmad Shah 06/10/2015 | 02:00 MYT

Jika diimbas kembali sepanjang zaman industri muzik tempatan, kita akan sedar banyak lagu-lagu di Malaysia ini yang menggunakan nama wanita sebagai subjek utama penceritaan dalam sesebuah lagu.

Nama wanita memang indah, sesuai dengan ciptaan Tuhan terhadap kaum Hawa ini. Maka tidak salah jika ramai penyanyi dan kumpulan muzik yang menjadikan nama wanita sebagai inspirasi dalam menghasilkan sesuatu karya yang indah.

Jadi Astro Gempak cuba menyenaraikan 10 lagu-lagu terbaik yang menggunakan nama wanita sebagai tajuk mereka.

10. Nurnilam Sari – Awie & Search (1998)

Merupakan lagu ciptaan Search dan liriknya adalah tulisan M.Nasir serta arwah Loloq. Nurnilam Sari adalah salah satu lagu yang dimuatkan dalam album Bikin Wilayah milik kumpulan Search yang diterbitkan pada tahun 1998. Menggunakan Awie sebagai vokalis utama, anda pasti ingat dengan MV lagu ini yang mana turut menampilkan kemunculan istimewa aktres Nasha Aziz. Sedikit info, Nurnilam Sari adalah nama kepada anak penulis lirik lagu ini, Dato` M. Nasir yang mana kasih sayangnya disampaikan menerusi lirik “Senyumanmu satu azimat……”

9. Suzana – M Osman (1964)

Lagu ini telah mengangkat nama dan mempopularkan seniman M.Osman. Bapa kepada pengarah popular, Aziz M.Osman ini telah merakamkan lagu Suzana pada tahun 1964 dengan diiringi kumpulan Les Fentones. Kemunculan lagu ini pada era tersebut berjaya mencetuskan impaknya kerana dipengaruhi dengan irama pop yeh yeh. Lagu Suzana kemudiannya telah dirakamkan semula dengan versi moden oleh kumpulan Kristal.

8. Aduh Saliha – Mawi (2005)

Lagu yang dinyanyikan di final Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) oleh juara AF3, Mawi. Pastinya ramai akan terkenangkan zaman populariti Mawi ketika lagu ini meletup di corong-corong radio satu ketika dahulu. Aduh Saliha adalah ciptaan pengetua AF3 sendiri, M.Nasir dan liriknya oleh Allahyarham Loloq. Rasanya Mawi sendiri tidak akan melupakan impak Aduh Saliha sehingga membolehkan dia menerima gelaran Raja SMS. Yang pasti, ramai wanita yang ingin menjadi Saliha ketika itu.

7. Oh Fatimah - A Ramlie (1966)

Pastinya ramai wanita bernama Fatimah tersenyum apabila mendengar lagu ini. Antara lagu yang sering dimainkan di majlis-majlis keramaian di kampung, Oh Fatimah adalah lagu nyanyian asal A.Ramlie yang dirakamkan pada tahun 1966. Oh Fatimah adalah hasil karya pencipta lagu terkenal tahun 60-an, iaitu Hanismara@Salamah Basiron yang meninggal dunia pada 16 Februari 2008 akibat barah hati. Dengan status dan popularitinya tersendiri, pastinya lagu ini tidak akan tenggelam ditelan zaman.

6. Ghazal Untuk Rabiah - Jamal Abdillah & M.Nasir (1997)

“Kilauan intan berkelip-kelip di langit tinggi….. Dan cahaya menari-nari di langit biru”, anda sudah tentu menyanyikan lagu ini dengan irama yang betul sebaik sahaja membaca lirik tersebut. Bagi yang pernah menonton filem Ghazal Untuk Rabiah, pastinya anda sudah terbayangkan kejelitaan pelakonnya, Wilma Muhammad. Lagu Ghazal Untuk Rabiah yang menggandingkan dua nama besar dalam industri muzik negara iaitu Jamal Abdillah & M.Nasir bukanlah sebarang lagu. Lagu ini pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1997. “Yang halus yang tulus….Yang mulus yang kudus”

5. Taman Rashidah Utama - Wings (1988)

Intro Taman Rashidah Utama adalah antara yang paling diingati antara lagu-lagu dalam senarai ini. Bagi anda yang pernah melalui zaman ‘rock kapak’, pastinya anda tidak akan lupa akan pengaruh lagu ini sewaktu era lewat 80-an dan awal 90-an. Antara lagu yang mengukuhkan nama Wings sebagai salah satu kumpulan rock paling berpengaruh di Malaysia ketika itu. Taman Rashidah Utama merupakan salah satu lagu yang dimuatkan dalam album kedua Wings, Hukum Karma pada tahun 1988.

4. Jesnita – Exist (2001)

Mengikut cerita dari penulis lagu ini iaitu Harun Ahmad, Jesnita adalah seorang pramugari dari Jerman. Dikhabarkan ada orang yang memberitahu kejelitaan Jesnita kepadanya sewaktu menaiki kapal terbang. Lalu dia yang cacat penglihatan telah menggambarkan kejelitaan Jesnita yang tidak pernah dilihatnya itu dengan lagu dendangan Exist ini. Impak Jesnita memang hebat sehingga pernah menjadi juara untuk belasan minggu bagi stesen radio ERA fm. Kehebatan vokal penyanyi Exist ketika itu, Ezad menambahkan lagi kesyahduan lagu ini.

3. Azura – Jamal Abdillah (1984)

Lagu dan filemnya sama-sama hebat. Dan bila petik sahaja Azura, sudah tentu kita terbayangkan wajah pelakonnya ketika itu iaitu Fauziah Ahmad Daud. Azura nyanyian Datuk Jamal Abdillah adalah OST kepada filem Azura arahan Deddy M. Borhan pada tahun 1984. Kisah cinta Zack dan Azura digambarkan dengan garapan yang mantap menerusi lagu dan filem ini, menjadikan ianya berada di tempat ketiga pilihan kami.

2. Fiona – 4U2C (1992)

Sebut sahaja Fiona, kita akan terbayangkan imej 7 orang anak muda kumpulan 4U2C yang mengenakan fesyen baju labuh serta mengenakan rantai CD di leher masing-masing. Diketuai Dato’ AC Mizal, kumpulan ini akan meneruskan nyanyian dengan rentak tariannya sendiri. Fiona adalah lagu paling popular kumpulan 4U2C yang sehingga kini akan terus diingati. Dan Dato’ AC Mizal pastinya akan dikenang dengan imej tersebut dan tidak akan dapat lari darinya sampai bila-bila. Populariti Fiona menjadikan lagu tersebut berada di tangga kedua.

>

1. Isabella – Search (1989)

Rasanya semua orang akan bersetuju dengan pemilihan Isabella untuk berada di tempat pertama senarai top 10 lagu-lagu yang menggunakan nama wanita. Lagu yang memenangi Anugerah Juara Lagu 1989 ini amat sinonim dengan kumpulan Search dan akan terus dikenang dengan sebagai lagu paling popular kumpulan itu. Isabella mencetuskan fenomenanya sendiri di zaman genre rock menguasai industri seni tanah air. Malah lagu ciptaan Search dan Bob Lokman ini turut mempunyai pengaruh tersendiri di tanah seberang, Indonesia. Kehebatan Isabella menyebabkan kami memilihnya untuk berada di tangga pertama senarai ini.

Begitulah senarai top 10 lagu-lagu yang menggunakan nama wanita pilihan Astro Gempak.

Sebenarnya banyak lagi lagu-lagu yang turut boleh tersenarai seperti Cinta Untuk Nabila (Melissa), Kamelia (Sweet Charity), Rozana (Search), Tiara (Kris), Kasihnya Laila dan Farhana (Jinbara), Zakiah (Sweet Charity), Misteri Mimpi Syakilla (Wingss), Kau Yang Bernama Seri (Handy Black) dan banyak lagi.

Anda pula bagaimana? Apakah lagu dengan nama wanita yang menjadi pilihan anda?

Teks oleh Helmi Zainalabidin

#Wings #Search
;