Toyota Hilux 2.8 Black Edition lebih sporty - Dijual pada RM139,888
UMW Toyota (UMWT) memulakan kalender separuh kedua 2019 syarikat dengan pengenalan beberapa peningkatan serta tambahan varian terbaru bagi barisan menerusi model Toyota Hilux 2.8 Black Edition bagi menggantikan Hilux 2.8 L-Edition.
Menariknya, penampilan versi Black Edition lebih menonjol dengan tema kemasan warna luaran yang digabungkan antara hitam dan kelabu gelap.

Hilux 2.8 Black Edition kini menjadi varian paling tinggi dengan harga jualan RM139,888 di Semenanjung Malaysia bagi pendaftaran persendirian, tanpa insurans.

Dengan ciri Android Auto dan Apple CarPlay yang didatangkan secara standard, sambungan yang lebih mudah boleh dilakukan terhadap kebanyakan telefon pintar semasa ketika ini (dengan perisian yang berkaitan telah dimuat turun). Ini secara tidak langsung dapat memperkayakan lagi pengalaman pengguna.

Sebagai tambahan, perakam video digital (DVR) di belakang juga menjadi pelengkap kepada ciri sama yang dipasang di hadapan. Dengan ini, pengguna akan mempunyai bukti kukuh melalui rakaman di depan dan belakang kenderaan sekiranya berlaku perlanggaran.

Pada masa sama, Toyota Fortuner 2.7 SRZ dan 2.4 VRZ pula kini lengkap dengan Android Auto dan Apple CarPlay sebagai ciri standard dengan paparan skrin sembilan-inci bagi sistem infotainmen yang ada.

Ciri tinjauan titik buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik di Belakang (RCTA) pula ditawarkan sebagai ciri pilihan. Kedua-dua ciri keselamatan tambahan ini mampu membantu mengurangkan kebarangkalian berlakunya perlanggaran yang disebabkan oleh keupayaan untuk melihat kenderaan lain dalam situasi-situasi tertentu.