Tragis, Dihempap Kontena Ketika Cuba Selamatkan Kereta -"Mangsa Bertindak Mahu Mengalihkannya..."
Syafiqah Jalal
26/07/2023 22:34 MYT
26/07/2023 22:34 MYT
Tragis, seorang lelaki maut selepas dihempap kontena kereta ketika mahu mengalihkan keretanya dalam satu kejadian di Jalan Dato Yusof Shahbudin 29A, Taman Sentosa, Klang, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mangsa berusia lingkungan 40-an telah meletakkan keretanya bersebelahan dengan kontena sepanjang 40 kaki untuk pergi membeli makanan di restoran berdekatan di situ.
Beliau berkata kontena tanpa kepala lori itu telah diletakkan di hadapan kedai tersebut bertujuan bagi keria-kerja pemunggahan barang.
"Selang beberapa minit kemudian, mangsa mendapati kontena tersebut sedikit condong, lalu mangsa bertindak untuk mengalihkan kenderaannya.
"Keadaan tanah yang mendap dan jerlus mengakibatkan kaki kontena tidak stabil lalu terbalik dan menghempap mangsa serta keretanya, sebelum sempat mengalihkan kenderaan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Cha berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi bedah siasat.
Sumber: Bernama