Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Transgender Thailand Beli Organisasi Miss Universe Dengan Harga RM94 Juta! Kaya Betul!

Amri Hassan
27/10/2022 14:20 MYT
Usahawan dan selebriti Thailand, Jakapong Anne Jakrajutatip telah membeli organisasi ratu cantik popular dunia, Miss Universe Organisation dengan nilai AS$20 juta (RM94 juta).

Jakrajutatip yang juga seorang transgender, kini menjadi ketua pegawai eksekutif dan pemilik saham terbesar JKN Global Group.

JKN pernah menerbitkan beberapa rancangan serta kandungan untuk diedarkan ke negara-negara luar termasuk Thailand. Ia termasuklah dokumentari serta naskhah terkenal Bollywood.

Jakrajutatip sebelum ini pernah bersuara mengenai pengalamannya sebagai wanita transgender serta menubuhkan Life Inspired For Thailand Foundation untuk memperjuangkan hak, maruah serta peluang golongan transgender.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Jakrajutatip berterima kasih kepada sokongan yang diterima daripada pageant lovers.

"Kami bukan hanya mahu meneruskan legasi untuk menyediakan platform kepada individu berbilang latar belakang, budaya dan tradisi, tetapi juga untuk merevolusikan jenama (Miss Universe) kepada generasi baharu," tulisnya.

Sementara itu, ketua eksekutif dan presiden Organisasi Miss Universe, Amy Emmerich dan Paula Shugart masih dikekalkan dalam posisi semasa.

Untuk rekod, Jakrajutatip sebelum ini pernah terbabit dalam beberapa rancangan realiti popular versi Thailand seperti Project Runway dan Shark Tank.

Pertandingan ratu cantik kendalian organisasi itu sebelum ini pernah dimiliki oleh Donald Trump dari tahun 1996 hingga 2002 dan telah disiarkan ke lebih 165 buah negara sejak 71 tahun lalu.

Acara Miss Universe 2022 dijadualkan berlangsung di New Orleans, Amerika Syarikat pada Januari 2023.

#Viral #Ratu Cantik #Donald Trump #Thailand #Transgender #Jakapong Anne Jakrajutatip #Miss Universe Organization
;