Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Trauma Diugut Bunuh, Radja Kembali Ke Malaysia: “Malaysia Rumah Kedua Kami”

Maliah Surip
05/10/2023 03:50 MYT
Biarpun masih punya trauma selepas menerima ugutan bunuh daripada penganjur persembahan beberapa bulan lalu, kumpulan Radja tidak serik bertemu peminat di Malaysia.

Radja yang dianggotai Ian Kasela, Seno Aji dan Mouldyanshah Mulyadi menerima ugutan bunuh sewaktu membuat persembahan di Johor Bahru pada Mac lalu.

“Sebagai manusia biasa wajar untuk ada rasa trauma. Pasti ya, memang ada trauma. Dan memang insiden kelmarin itu sangat menganggu.

“Tapi Malaysia adalah rumah kedua kami. Tidak mungkin kami tidak kembali atau datang ke sini lagi.

“Di media sosial juga masih banyak peminat yang mahu Radja kembali mengadakan konsert di Malaysia,” ujar vokalis Radja, Ian Kasela.

Ian, 49, menambah insiden yang berlaku juga tidak mahu dijadikan ‘beban’ buat Radja bergerak ke depan.

“Kami mahu move on dan berfikiran positif kerana jika bercakap soal wajar atau tidak wajar pemuzik berdepan isu (ugut bunuh), ia di luar kuasa kami.

“Tapi yang pasti Radja sentiasa mahu berkunjung ke Malaysia lagi,” katanya.

Gitaris Radja, Mouldy pula memberitahu mereka sudah memaafkan penganjur.

“Radja telah memaafkan penganjur. Tapi kami belum pernah menerima permohonan maaf secara langsung daripada pihak merekq,” jelas Mouldy.

Namun sebagai bukti Radja sangat menghargai peminat di tanah air, kumpulan yang terkenal dengan lagu Jujur tersebut akan melangsungkan Live in Concert Radja pada 12 November 2013 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Sementara itu, selaku penganjur, Orange International Entertainment juga memberi jaminan kawalan keselamatan buat Radja akan diperketatkan sepanjang kumpulan tersebut berada di bawah jagaan mereka.

CEO & Pengasas Orange Entertainment International, Dato’ Fadzli Idrus malah menyifatkan inisiatif membawa Radja kembali ke Malaysia sebagai jalan menjernihkan keadaan.

“Kami memang telah berbincang dengan Radja dan mengikut garis panduan yang ditetapkan Puspal.

“Kami percaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa ada.

“Kami boleh pastikan kawalan keselamatan terhadap mereka akan dipertingkatkan dan usaha membawa Radja kembali ke Malaysia adalah untuk menjernihkan keadaan.

“Kami tidak mahu ada salah faham tentang penganjur atau peminat Malaysia yang sentiasa menyokong Radja,” ujarnya sewaktu ditemui pada sidang media Live In Concert Radja di Restoran Rebung, siang tadi.

Konsert Live In Concert Radja akan menampilkan Ella sebagai penyanyi undangan.

Tiket-tiket berharga RM168, RM148, RM198, RM238 dan RM528 boleh dibeli di ticket2u.com.my.

#Viral #Konsert #Indonesia #Malaysia #Ugut #Bunuh #Radja
;