Jika anda mempunyai perancangan untuk bercuti di Pulau Pangkor, Perak dalam masa terdekat ini, anda dinasihatkan untuk sentiasa peka dan berhati-hati dengan kehadiran obor-obor beracun di Pantai Teluk Nipah yang menjadi antara lokasi tumpuan pelancong jika berkunjung ke pulau peranginan tersebut.

Hal ini berikutan pada Isnin lalu, media tempatan melaporkan seorang kanak-kanak lelaki warga Perancis meninggal dunia selepas terkena sengatan obor-obor ketika mandi di Pantai Teluk Nipah.

Jika anda menemui obor-obor di pantai berkenaan atau sekitarnya, anda diminta untuk memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Perak.

Caranya adalah dengan anda mengambil gambar serta memberikan maklumat itu kepada Jabatan Perikanan Perak supaya pihak mereka dapat mengenal pasti spesies obor-obor terbabit.

Bagaimanapun mengikut pihak berwajib, setakat ini, pemantauan di lokasi kejadian, tidak menemui penampakan obor-obor beracun dan berbahaya seperti dilaporkan media, membabitkan kematian seorang kanak-kanak warga Perancis berusia lima tahun.

Buat masa ini, Jabatan Perikanan tidak dapat mengenal pasti spesies obor-obor yang ada di pantai terbabit kerana ketika tinjauan diadakan pada Rabu, tiada penampakan hidupan itu.

Namun Jabatan Perikanan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan supaya dapat meletakkan papan tanda mengenai kehadiran obor-obor yang berbahaya.

Selain itu, pengunjung juga diminta untuk lebih berhati-hati ketika mandi dan tidak menyentuh sebarang jenis obor-obor di laut.

Dalam kejadian menyayat hati Isnin lalu, kanak-kanak berusia lima tahun itu dan keluarganya pergi ke pantai tersebut kira-kira jam 6.15 petang untuk mandi setelah mendaftar di sebuah hotel di pulau peranginan itu.

Kira-kira 30 minit kemudian, kanak-kanak tersebut menjerit seperti di dalam kesakitan dan meminta tolong

Orang awam yang ada berhampiran dengan kanak-kanak itu datang dan membawa mangsa ke tepi pantai dan mendapati dia telah terkena sengatan obor-obor.

Kanak-kanak itu kemudian disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Wad Kecemasan Klinik Kesihatan Pangkor.