Mandi lumpur mungkin terasa asing bagi sesetengah orang namun buat penduduk Kampung Meritam di Limbang, Sarawak, aktiviti ini menjadi salah satu tarikan pelancongan di kawasan mereka.

Kawasan Lumpur Bebuak yang keluar dari perut bumi di Kampung Meritam mencetuskan fenomena dan keunikan tersendiri biarpun ia terletak di kawasan pedalaman.

Istimewanya lagi, tarikan tersebut menjadikan Kampung Meritam tumpuan pelancong sekali gus berupaya menjana aktiviti ekonomi penduduk.

Bagi masyarakat setempat, lumpur tersebut dikatakan berupaya ‘merawat’ beberapa penyakit seperti masalah kulit walaupun belum ada kajian saintifik dilakukan terhadapnya.

Lumpur yang licin, likat dan suam itu terhasil daripada kawah lumpur gunung berapi yang dikenali sebagai ‘lumpur bebuak’ di kampung ini.



Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pendidikan dan Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Limbang (MDL) berkata, kewujudan ‘lumpur bebuak’ telah menyebabkan Kampung Meritam, terletak kira-kira 40 km dari pusat bandar Limbang, tidak sunyi daripada dikunjungi pelawat.

Menurutnya lagi, Kampung Meritam menerima hampir 300 pelawat setiap hari sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Mereka menikmati ‘rawatan lumpur bebuak’, yang dikatakan boleh menjadi terapi menenangkan minda dan sesuai sebagai ‘masker’ untuk dilumur pada muka dan anggota badan selain dapat mengubati penyakit kulit.

“Ekoran sambutan menggalakkan ini, kita telah menganjurkan acara tahunan seperti Pesta Lumpur Bebuak yang diisi dengan pelbagai aktiviti dalam kawah lumpur seperti berendam, bermain bola tampar lumpur dan lain-lain.

“Bagi fasa endemik, kita sudah sedia untuk buka semula dan menerima kehadiran pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mencegah COVID-19,” katanya.

Tambah Frederick lagi, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM2 juta untuk menaik taraf fasiliti dan kemudahan bagi memberikan pengalaman percutian yang terbaik kepada setiap pengunjung yang datang ke Limbang, daerah yang terletak di timur laut Bumi Kenyalang.

Daerah Limbang yang kaya dengan kepelbagaian, keunikan dan tarikan lokasi pelancongan dijangka bakal menjadi hab pelancongan baharu di Sarawak, pada tahun depan.

Kredit foto: Sarawak Tourism Board

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!