Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#TRAVELMANA: Wat Uthissak Thammo Jadi Tarikan Pelancong, Lokasi Penggambaran Pengantin

Awani
11/08/2024 18:55 MYT
Selain menjadi tarikan penganut Buddha, Wat Uthissak Thammo Wararam iaitu wat Buddha tunggal di Gua Musang turut menarik tumpuan pelancong dalam dan luar negara terutama ketika musim perayaan.

Wat Buddha pertama di Malaysia dengan sembilan 'chedi' atau stupa Buddha di atas bumbungnya itu, menampilkan seni reka arkitek sama seperti di Thailand telah berusia lebih 35 tahun yang dibina di tapak seluas lima ekar.

Tarikan

Wat itu turut dihiasi arca naga emas di sisi anak tangga selain mempunyai kemudahan dewan orang ramai dan ruangan Dewan Pentahbisan atau 'ubosot'.

Keunikan seni bina wat berkenaan bukan sahaja menjadi tarikan pelancong, malah menjadi lokasi penduduk setempat yang sering merakamkan gambar perkahwinan bertemakan ala Thailand.

Ketua Sami Phor Than Lee berkata wat yang diasaskan bekas sami tersohor di Wat Machimmaran, Tumpat, Phor Than Tit pada 1989, sering menganjurkan sambutan perayaan Tod Pha-Pa atau Thod Kathin serta sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Wesak setiap tahun.

"Pada setiap tahun kita menerima lebih 400 pengunjung dari luar Gua Musang untuk sambut perayaan di sini. Ada yang dari Kuala Lumpur, Singapura, Johor dan banyak lagi.

"Kita sentiasa buka kepada pelancong. Orang luar atau pelancong yang datang untuk mengambil gambar dan sebagainya kami sangat alu-alukan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: #TRAVELMANA: Kelantan Optimis Capai Sasaran 2.5 Juta Pengunjung Tahun Ini

ARTIKEL BERKAITAN: #TRAVELMANA: Yogyakarta Catat Suhu Serendah 19 Darjah Celsius, Masa Yang Sesuai Untuk Pergi Bercuti!

ARTIKEL BERKAITAN: #TRAVELMANA: Bangunan Unik, Pantai - Ini Lima Tarikan Best Di Barcelona, Siap Jadi Lokasi Penggambaran Filem!

ARTIKEL BERKAITAN: #TRAVELMANA: Istana Gyeongbokgung Korea Akan Dibuka Untuk Lawatan Malam Mulai Mei Ini

ARTIKEL BERKAITAN: #Travelmana: A Villa By A River... Villa Nur Jannah Tarikan Baharu Di Janda Baik!

Selain itu, beliau berkata wat berkenaan turut membuka peluang kepada penganut Buddha dari seluruh negara untuk menjadi sami yang menekankan etika, amalan spiritual, meditasi, dan ajaran Buddha.

Mengimbau sejarah wat itu, Phor berkata yang menariknya mengenai wat berkenaan ialah ia menjadi 'saksi' kepada perpaduan kaum dan agama ketika dilanda Bah Kuning 2014.

Banjir

"Selepas banjir surut, ketika hendak buat wat ini, banyak orang datang tolong. Ada yang berikan makanan, ada buat 'bekwoh' (kenduri), ada yang datang cuci wat dan ada tolong angkat barang dan sebagainya.

"Orang kampung datang tolong macam ini pun, saya sudah rasa seronok, lagi-lagi masyarakat berbilang kaum," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya sedia menerima cadangan daripada Wat Uthissak Thammo Wararam untuk menganjurkan pelbagai program sempena Bulan Kebangsaan.

"Kita ikut apa yang dicadang oleh pemimpin setempat. Kalau mereka mencadangkan (program), saya tiada halangan malah menggalakkan.

"Kita menggalakkan pihak wat untuk melaksanakan dan menyusun aktiviti sempena Bulan Kebangsaan ini bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda di kawasan itu," katanya.

Sumber: Bernama menerusi Astro Awani
Sumber foto: Facebook Wat Uthissak Thammo

#Travelmana #Pelancong #Penggambaran Pengantin #Wat Uthissak Thammo