HIBURAN
Treler Terbaharu Monsta Raih Perhatian Dunia, Peminat Dari Jepun Hingga Sepanyol Serbu Ruangan Komen - “Tak Sabar Nak Tunggu…”
Treler terbaharu keluaran syarikat animasi popular tempatan, Monsta meraih sambutan luar biasa apabila ruangan komen dibanjiri peminat dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Indonesia, India, Vietnam, Sepanyol, Jepun dan Thailand.
Menerusi treler tersebut, Monsta mengumumkan perjalanan animasi tahun ini bakal bermula pada 6 September dengan tayangan Mechamato Musim 4 di YouTube Monsta Channel dan Netflix.
Musim kali ini menampilkan 13 episod dengan cabaran terbesar buat Amato dan MechaBot yang bakal berdepan robot berbahaya dari sebuah penjara angkasa.

Sambutan hangat daripada peminat antarabangsa dapat dilihat menerusi komen berbentuk sokongan dan keterujaan, antaranya daripada Vietnam, Sepanyol dan Jepun yang menzahirkan rasa tidak sabar menantikan siri terbaru tersebut.

Seterusnya, pada 18 Oktober, Monsta akan melancarkan BoBoiBoy Galaxy Baraju dengan enam episod baharu. Siri ini bakal membawa BoBoiBoy ke kancah pergelutan besar antara dua pihak sekali gus menguji kesetiaan serta ketabahannya. Siri ini merupakan kesinambungan daripada arka BoBoiBoy Galaxy Gentar yang mendapat sambutan hangat tahun lalu.
Kemuncak tahun ini pula bakal disajikan pada Disember 2025 dengan tayangan Papa Zola The Movie di pawagam seluruh negara hasil kerjasama Monsta dan Astro Shaw.
Selain itu, pelbagai aktiviti turut dirancang seperti tayangan Papa Pipi Shorts, kandungan eksklusif di sebalik tabir, kolaborasi bersama jenama utama, barangan rasmi Monsta dan siri jelajah sekolah.
Bagi mengukuhkan momentum, Monsta turut melancarkan kempen #MonstaHypetrain yang akan menyajikan peminat dengan rangkaian animasi tanpa henti dari September hingga Disember.
Nantikan kemuncak tahun animasi Monsta menerusi Papa Zola The Movie terbitan Monsta bersama Astro Shaw yang bakal menjengah pawagam hujung tahun ini.
Must-Watch Video