Tuah Adzmi Ingin Kembali Bekerja Sebagai Pembantu Stor Di Kilang Al-Quran Jika…
08/05/2022 07:50 MYT
Peserta Big Stage 2022, Tuah Adzmi mendedahkan yang perasaannya berubah menjadi sayu setiap kali mendengar takbir raya, memandangkan dia menyambut kehadiran Hari Raya Aidilfitri tanpa kehadiran bapanya.
Sungguhpun kehilangan ayah tercinta ketika usianya enam tahun, namun, penyanyi berusia 24 tahun itu berkata, kehilangan ketua keluarganya itu masih terasa sehingga sekarang.
“Kalau ikutkan, saya dan ibu dah biasa beryaa berdua sebab dari kecil kami memang berdua sahaja.
“Bila tiba hari raya, tidaklah saya terasa sangat. Cuma apabila dengar takbir sahaja, saya akan teringat yang kami beraya tanpa ketiadaan ayah. Hal itu selalunya buat saya sedih,” kongsi Tuah.
Bagi melepaskan rindu, Tuah dan ibu pasti tidak melepaskan peluang untuk menziarahi pusara ayahnya pada 1 Syawal. Cuma, disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, Tuah tidak dapat berbuat demikian sejak dua tahun lalu.
“Saya dan ibu tidak pernah terlepas peluang untuk ziarah pusara ayah pada raya pertama. Cuma disebabkan pandemik, kami tidak dapat melawat.
“Selain itu, kami sudah berpindah ke Bangi dan pusara ayah terletak di Ampang, jadi kami perlu merancang sebaiknya untuk melakukan ziarah. Jadi, tahun ini, aktiviti raya pertama kami adalah ziarah ke kubur ayah,” katanya lagi.
Bercerita tentang perkembangan terkini, Tuah berkata yang dia ingin memberi fokus terhadap kerjaya nyanyian memutuskan untuk berehat sementara daripada kerjaya sebagai pembantu stor di kilang Al-Quran.
“Saya tak sambung bekerja di kilang buat masa ini… tengok keadaan bagaimana. Kalau saya sambung kerja di situ, saya risau tidak boleh dapat undangan nyanyian dan saya sendiri tak boleh nak membahagikan masa.
“Katakanlah rezeki dalam bidang nyanyian tidak memberangsangkan, dan keadaan mengizinkan saya kembali bekerja di sana, saya akan kembali.
“Alhamdullillah, usai program realiti Big Stage 2022, nama dan lagu saya sudah agak dikenali. Bukan saja orang ramai malah media juga,” katanya.
Dalam masa sama, Tuah juga merancang untuk kembali aktif di YouTube, memandangkan sebelum ini dia banyak meraih pendapatan di laman itu.
Tuah aktif di YouTube sejak usianya 15 tahun, bagaimanapun pada usianya 20 tahun, baru dia mula menjana pendapatan menerusi video yang dimuat naik.