BERITA
Tuah, Teja & Jebat Yatim Piatu Sekelip Mata
Tiga beradik yatim piatu sekelip mata apabila kedua ibu bapa mereka serta adik bongsunya maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan pada malam Khamis.
Kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada dinaiki enam beranak, Proton X50, kereta Toyota Camry dan treler.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pasangan yang maut ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tiga lagi anak mangsa, Tuah Isqandar Nasaarudin,9; Teja Summaiyah, 7; dan Jebat Ismaell, 4; cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor.
"Turut maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan penumpang hadapan, lelaki berumur 20-an akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pemandu treler berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur memaklumkan sebaik tiba di tempat kejadian, tayar hadapan kanan kenderaan dipandunya pecah menyebabkannya hilang kawalan.
"Treler itu dikatakan bergesel dengan Toyota Camry yang berada di laluan sama sebelum kenderaan berkenaan memasuki laluan bertentangan dan melanggar Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.
"Kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video