Drama
Tuan Anas Mikael Paling Popular Di Enjin Carian Google
Drama bersiri yang sedang hangat ditayangkan di Astro, Tuan Anas Mikael semakin ‘mengganas’ apabila tersenarai dalam 10 paling trending di enjin carian Google Malaysia.
Menerusi tinjauan akhbar harian The News Straits Times, drama yang diadaptasi daripada novel karya Syammuriezmil itu menjadi trending sejak 13 November lepas.
Drama 16 episod terbitan Pena Creatives Pictures itu menggandingkan Aaron Aziz dan Zara Zya sebagai teraju utama.
Ternyata gandingan mantap Aaron dan Zara memberi impak apabila mencatat rating satu episod dengan mencecah 2.5 juta penonton setakat ini.
Tuan Anas Mikael dimantapkan lagi dengan penampilan barisan pelakon seperti Ziela Jalil, Raja Ilya, Wan Sharmila, Fazlina Datuk Ahmad Daud dan Datuk Shah Rezza.
*Keratan akhbar The News Straits Times mengenai 10 yang paling popular di enjin carian Google Malaysia*
Walaupun sudah memasuki minggu ketiga ditayangkan, drama arahan Raja Ahmad Alauddin ini juga masih menjadi trending di laman sosial Twitter.
Kepada penonton dan pembaca novel Tuan Anas Mikael, pastikan anda tidak terlepas walau satu episod pun drama ini kerana tinggal enam lagi episod sebelum ia berakhir pada 3 Disember ini.
Teruskan menonton untuk mengetahui kesudahan kisah penuh rahsia, Tuan Anas Mikael yang disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Teks Oleh: Hafiza Kamarudin