Isu pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dianggap seperti tiada kesudahan.

Terbaru, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mendedahkan seramai 375,925 peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman berkenaan.

Jelas Nie Ching, PTPTN memerlukan peruntukan dana secara purata sebanyak RM3.7 bilion hingga RM4.3 bilion setahun.

"Jumlah ini diperlukan untuk menampung pembiayaan pendidikan 180,000 peminjam baharu dan 420,000 peminjam sedia ada," katanya.

Tambahnya lagi, sehingga bulan lalu PTPTN juga telah meluluskan pinjaman berjumlah RM72.1 bilion yang diagihkan kepada lebih tiga juta peminjam sehingga mereka tamat pengajian.

“Daripada jumlah itu RM36.5 bilion untuk peminjam di universiti awam (UA) manakala RM35.6 bilion diperuntukkan kepada peminjam di institusi pengajian tinggi swasta.

“Daripada jumlah keseluruhan tersebut sebanyak RM57.7 bilion telah dikeluarkan kepada peminjam,” katanya.

Sumber: Sinar Harian