Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegur penggunaan foto pelakon Niezam Zaidi berpakaian juruterbang TUDM, menerusi artikel-artikel yang menyebut tentang jenayah dilakukan.

TUDM menerusi sebuah kenyataan menegaskan, perkara tersebut telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan mencalar imej mereka.

“Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh beberapa media, blogger dan pengguna media sosial berkenaan seorang artis ditangkap kerana memiliki dadah telah disensasikan dengan penggunaan gambar beliau berpakaian juruterbang TUDM.

“Isu ini telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta mencalarkan imej TUDM,” menurut kenyataan dikeluarkan bahagian perhubungan Awam TUDM.

Markas tentera udara turut menafikan pelakon terbabit pernah berkhidmat dengan TUDM atau Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Gambar beliau berpakaian juruterbang tersebut adalah semasa beliau memegang watak sebagai Juruterbang TUDM dalam sebuah drama bertajuk Gempur Wira yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 2018

“Artis berkenaan sama sekali tidak pernah berkhidmat dengan TUDM serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM).

“Oleh itu, TUDM amat kesal dengan tindakan penggunaan gambar artis berkenaan yang berpakaian juruterbang TUDM dipaparkan di dalam artikel berkaitan dakwaan kesalahan jenayah yang telah dilakukan oleh beliau yang memberikan kesan imej yang negatif,” katanya.

Dalam pada itu TUDM turut menegur pihak media, pengguna media sosial dan blogger supaya lebih peka dan berhati-hati melibatkan penggunaan gambar untuk sebarang artikel yang dikeluarkan agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat serta yang boleh mencalarkan imej TUDM khasnya dan ATM keseluruhannya.

TUDM turut memohon media, blogger dan pengguna media sosial untuk tidak mengaitkan artis tersebut dengan mereka dan memohon agar pembetulan dapat dilakukan bagi mana-mana artikel yang telah dimuat naik.