Laman Utama
"Tuduh Polis Kejam Tidak Adil" - Ini Penjelasan & Pesanan Ketua Polis Negara
Melontarkan pelbagai tuduhan liar terhadap pihak polis hingga menimbulkan persepsi negatif adalah satu perbuatan yang tidak wajar.
Memetik laporan BERNAMA, perkara itu disentuh oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang menyifatkan perbuatan sebegitu dilakukan oleh individu yang sengaja ingin 'popular'.
Menurut beliau, anggapan seperti merasakan polis kejam kerana mengenakan tindakan tegas termasuk kompaun adalah tidak wajar kerana mereka hanya menjalankan tugas mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.
"Orang ambil kesempatan, ada yang nak popular, lontar pelbagai tuduhan liar kemudian sembunyi tangan.
"Contohnya macam kes di Lahad Datu kononnya polis tangkap ramai pengemis di sana.
"Sebenarnya warga Pala'u ini mengemis beramai-ramai hampir di setiap lampu isyarat di sana, jadi polis pergi tangkap.
"Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang virus sedang menular. Di Sabah sekarang kes telah turun tinggal 35 dan kami mahu turunkan lagi.
"Sehubungan itu, polis kena ambil tindakan untuk elak mereka berkeliaran, mereka mungkin dijangkiti, jadi kami tangkap, namun yang keluar dalam berita mengatakan polis kenakan kompaun RM10,000.
"Ceritanya, kami tangkap di bawah Akta Imigresen dan serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perlindungan, tidak ada niat pun hendak kompaun, kami tahu takkan mereka mampu, RM5 pun mereka tidak ada, usahkan RM10,000. Jadi nak kata polis kejam tu tak adillah," katanya.
Jelas Abdul Hamid, begitu juga dengan isu pasangan kekasih kononnya dikompaun RM10,000 ketika sedang makan dan minum di Cheras baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan itu bukan dari pihak polis, sebaliknya dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan lain.
Justeru, beliau menyarankan masyarakat untuk berfikiran lebih matang terhadap tindakan yang dilakukan oleh pihak polis kerana mereka hanya berusaha memerangi penularan wabak COVID-19 demi kesejahteraan rakyat.
Kredit Foto : AWANI
Must-Watch Video