Hiburan
"Tuduhan Demand? Saya Pun Pelik" - Farah Nabilah
Pelakon baru Farah Nabilah tidak menganggap tuduhan ‘demand’ yang dilemparkan kepadanya sebagai satu isu.
“Semenjak drama bersiri Titian Cinta, saya tahu ada yang berkata mengenai ‘demand’. Saya sendiri pelik sebenarnya.
“Tiada isu sebenarnya mengenai ‘demand’. Bercakap mengenai harga, memang pihak pengurusan saya yang tetapkan.
“Kalau mahal pun, mungkin RM100 atau RM200 dari harga lama. Tetapi, semuanya boleh dibincangkan,” kata Farah.
Tambah gadis itu, jadualnya juga diaturkan oleh pihak pengurusan dan semuanya diserahkan kepada pembantu peribadinya (PA).
“Terdengar dakwaan saya sombong apabila saya menyuruh pihak yang mahu memberikan tawaran kerja berurusan dengan PA.
“Sejujurnya, saya sendiri tak ingat jadual saya kerana semuanya diuruskan oleh pihak pengurusan. Jadi, lebih mudah untuk berurusan dengan PA.
“Tapi saya anggap itu semua lumrah industri hiburan. Biasalah, asam garam bergelar anak seni,” katanya lagi.
Dalam perkembangan terbaru, Farah tercalon dalam kategori Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan (gandingan bersama Zul Ariffin) di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018.
Anugerah DFKL 2018 mempertandingkan 11 kategori dan calon akan ditentukan berdasarkan jumlah undian.
Peminat boleh mengundi bakal pemenang menerusi laman web www.dfkl.com.my sehingga 1 Mac ini.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video