“Tugas Isteri Bukan Mudah, Tak Salah Pun Suami Bantu Jaga Anak”- Fad Bocey

Mya Amri
Januari 15, 2018 04:24 MYT
Pelawak dan pelakon Fad Bocey mengakui menolak beberapa tawaran berlakon demi meluangkan masa bersama isteri dan anak-anaknya.
Menurut Fad, dia harus pandai membahagikan masa di antara kerjaya dan keluarga supaya masa yang diperuntukkan keluarga tidak terjejas.
“Tugas seorang isteri bukan mudah, lebih-lebih lagi bila anak-anak dah semakin membesar.
“Jadi buat masa ini saya hanya fokus kerja sebagai penyampai radio ERA fm dari Isnin hingga Jumaat sahaja. Sabtu dan Ahad kebiasaannya saya akan berehat di rumah dan luangkan masa bersama mereka.
“Saya akui ada beberapa tawaran berlakon saya tolak, saya tak nafikan ada juga pengarah yang bertolak-ansur dan mahu mengikut waktu kerja saya.
“Tetapi saya tidak mahu menyusahkan semua orang jadi buat masa ini saya rasa biarlah saya tolak dulu tawaran berlakon.
"Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya terasa seperti diabaikan jika terlalu sibuk dengan kerja.
“Lagipun apa salahnya cuti dan bantu isteri di rumah. Tugas isteri bukannya mudah, bila cuti sekurang-kurangnya dapat jugalah ringankan bebannya,” katanya kepada Astro Gempak
Dalam perkembangan lain, Fad Bocey bakal mengendalikan program baru terbitan Astro, Gegar Lawak bermula 19 Januari ini.
Selain Fad, pelakon dan juara Super Spontan Superstar (SSS2017) Kamal Adli dipilih sebagai hos yang akan digandingkan bersamanya.
Manakala pelawak Tauke, Nizam Jentik- Jentik, Ali Puteh dan Dzawin ditugaskan sebagai penasihat lawak yang akan membimbing serta membantu para peserta.
Sementara itu, pelawak Douglass Lim dipilih sebagai juri tetap.
Gegar Lawak bakal bersiaran secara langsung setiap Jumaat, jam 10.00 malam bermula 19 Januari ini di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 134).
Program ini juga boleh ditonton menerusi platform digital, Astro GO dan ‘On Demand’.
Foto: Instagram @fadbocey
Teks oleh: Mya Amri
#Anak #Pelawak #Fad Bocey