Laman Utama
Tugu Peringatan Puteri Diana Direka Bersama Tiga Kanak-Kanak, Ini Sebabnya...
Tugu peringatan Puteri Diana telah dirasmikan oleh Putera Britain, William dan Harry pada Khamis di Sunken Garden, Istana Kensington, London sempena ulang tahun kelahiran ke-60 mendiang.
Rekaan tugu tersebut memaparkan bentuk Puteri Diana berada bersama tiga kanak-kanak (satu di belakang) yang telah mencetus tanda tanya orang ramai tentang maksudnya.
Memetik laporan People, keputusan menghasilkan rekaan sebegitu adalah sebagai satu tanda hormat kepada Puteri Diana yang banyak berbakti kepada masyarakat, terutamanya kanak-kanak.
Pihak Istana Kensington juga mengeluarkan kenyataan bahawa rekaan tugu itu melambangkan karakter Puteri Diana yang bersemangat sebagai seorang yang sangat aktif dalam aktiviti kemanusiaan ketika hayatnya.
"Tugu itu melambangkan sifat mesra, elegan dan semangat Diana, Puteri Wales, ia berkaitan kerja-kerja yang dilakukan mendiang dan impaknya terhadap ramai orang.
"Bentuk tugu Puteri Diana memakai gaya persalinan begitu juga adalah berdasarkan fasa terakhir hidupnya dimana Puteri Diana mendapat kekuatan sebagai seorang duta aktiviti kemanusiaan, ia juga melambangkan sifat belas kasihan mendiang," kata kenyataan tersebut.
Arca bersaiz manusia itu adalah hasil ukiran Ian Rank-Broadley.
Taman Sunken merupakan salah satu daripada tempat kegemaran Puteri Diana di Istana Kensington.
Ia direka semula termasuk bunga kesukaan mendiang sempena perasmian tugu peringatan tersebut.
Imbas kembali, Puteri Diana menghembuskan nafas terakhir pada 21 Ogos 1997 di Paris akibat nahas jalan raya.
Must-Watch Video