Penyanyi Rap, Muzammil Alias atau lebih dikenali dengan nama Waris memberitahu dia tidak bergurau mengenai keputusan untuk menukar namanya.

Waris berkata, dia bakal mengumumkan nama baru yang bakal digunakan pada 1 Januari 2020 di laman sosial Instagram (IG).

“Nama baru, saya akan umum 1 Januari nanti di IG. Saya akan tukar nama saya dan nama tersebut saya sendiri yang pilih.

“Saya memang nak tukar nama sebab dah lapan tahun guna nama Waris dan orang perlekehkan nama saya seperti yang saya maklumkan sebelum ini menerusi video di IG saya,” katanya.

Menjawab dakwaan netizen mengenai rakaman video yang dibuat ketika berada dalam keadaan kurang waras, Waris berkata itu merupakan tuduhan tidak berasas.

“Tuduhan itu tidak berasas. Saya tak main-main bila saya cakap nak tukar nama. Saya dah letih dengar orang main-mainkan nama saya.

“Selain menuduh saya kurang waras, ada juga yang kata saya ‘koyak’…Sebenarnya kalau orang tak lalu, dia takt ahu. Tapi biarlah, tahun 2020 ini saya akan gunakan nama komersial yang baru,” katanya.

Waris berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media program realiti Dansa Dan sing terbitan Astro Ria di Kuala Lumpur pada petang Selasa.

Bagaimanapun kata Waris, dia bersyukur kerana disebabkan gimik menukar nama tersebut ramai pengikut di IG sudah mula menyedari mengenai bantuan tahunan saya membantu anak yatim.

“Sebelum ini, setiap tahun saya akan berikan sepasang uniform sekolah kepada anak-anak yatim…Tetapi berkat gimik tukar nama ada warga net yang tanya macam mana nak ikut serta menderma uniform sekolah kepada anak-anak yatim.

“Jadi tahun ini, saya dapat membantu dua buah rumah anak yatim dengan memberikan tiga pasang uniform sekolah setiap seorang. Alhamdulillah,” katanya.

Dalam pada itu, Waris berterima kasih kepada warga net yang sudi turut serta membantu anak-anak kurang bernasib baik.

“Terima kasih semua. Disebalik kutukan dan kejian ada juga yang prihatin dengan kerja amal yang saya buat. Sebelum ini mungkin orang tak perasan.

“Gara-gara video saya minta pendapat orang tentang nama baru, ramai pula yang mula mengikuti perkembangan saya dan secara tak langsung mengikuti kerja amal saya,” katanya positif.