Hiburan
Tulang Selangka Retak Akibat Futsal, Tak Fasal Syamel Kena Dengar ‘Bebelan’ Ernie Zakri - “Kalau Beriya Main Macam Nak Rebut Piala…”
Malang tidak berbau… itu yang terjadi kepada penyanyi Syamel apabila terlibat dalam kemalangan kecil sewaktu bermain futsal pada Sabtu lalu sehingga mengakibatkan tulang selangkanya retak.
Syukur tiada kecederaan serius
Menerusi perkongsian di Instagram Story, penyanyi berusia 33 tahun ini, bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana tiada sebarang kecederaan serius yang dialami.
“Collarbone (tulang selangka) retak. Nasib tidak menyebelahi permainan futsal semalam. Tapi nasib baik stabil dan tulang itu tidak patah dua.
“Nasihat saya kepada kawan-kawan yang main sukan secara hobi dan bukan Olimpik, kita main sekadar keluar peluh,” kongsinya.
Dalam pada itu, Syamel turut berkongsi foto memperlihatkan keadaan tanggannya yang sudah berbalut selepas mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan.
Rehat 2 minggu
Sementara itu, isteri kepada Syamel iaitu penyanyi Ernie Zakri turut memaklumkan doktor memberitahu suaminya perlu berehat selama dua minggu.
“Main futsal katanya, tahu-tahu balik rumah cedera. Semoga cepat sembuh. Doktor minta rehat dua minggu, harap cepatlah proses penyembuhan.
“Main futsal itu mainlah, kalau beriya main macam nak rebut piala, lebih baik jadi pemain futsal profesional. Kadang kita hati-hati tapi orang lain yang tak hati-hati.
“Ada orang ingat saya bebel dekat Bangmel, tapi saya bebel dekat kawan-kawan dia yang main juga. Berhati-hati semua, jaga diri. Sukan berpeluh-peluh saja okay,” ujarnya.