Tidak lama selepas isu viral pelanggan memakan kek najis lembu yang dijual di laman web Amazon, kali ini tular pula mangkuk atau bekas kencing yang dijual sebagai peralatan dapur di laman web itu.

Memetik laporan Global Times, penjualan itu mengejutkan ramai netizen China yang tahu tentang fungsi sebenar bekas berkenaan.

Malah, harga bekas itu juga dijual 15 kali ganda daripada harga jualan di China. Turut mengejutkan, bekas yang 'diklasifikasikan' sebagai barangan antik itu dijual untuk kegunaan meja makan dan hiasan.

Walhal, kegunaan sebenar bekas itu dalam masyarakat China adalah untuk meludah dan kencing di dalamnya.

Difahamkan, bekas itu mula tular apabila netizen berkongsi di media sosial tentang harganya sekitar 60 USD dan mempunyai banyak kegunaan menyimpan sayuran, buah, ais, malah turut dijadikan hadiah perkahwinan.

Diperbuat daripada enamel dan bercorak itik Mandarin, bekas itu hanya dijual pada harga 4 USD di sebuah platform e-dagang China, tetapi kegunaannya jelas ditulis untuk meludah dan kencing.

Bekas kencing itu kerap kelihatan di rumah masyarakat China pada era 1980an dan 1990an.

Kredit Foto : Amazon