Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tular Foto Kejadian Jalan Mendap Di Kampung Attap, DBKL Jelaskan Kejadian Lama

Khairil Khusyairi
29/08/2024 08:55 MYT
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan foto mendapan tanah yang tular di Jalan Dewan Bahasa, Kampung Attap, Kuala Lumpur adalah foto lama.

Menerusi kenyataan di Facebook, DBKL turut memaklumkan kerja pembaikan terhadap kerosakan sudah dijalankan di jalan tersebut.

"Dimaklumkan bahawa gambar tersebut merupakan gambar lama dan kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan di jalan terbabit sudah dijalankan," katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, DBKL turut menasihati orang ramai agar tidak berkongsi berita yang tidak sahih kerana boleh menimbulkan kegelisahan awam.

Dalam kejadian Jumaat lalu, negara digemparkan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India membabitkan seorang mangsa yang dilaporkan masih hilang selepas terjatuh dan tertimbus dalam insiden berlaku sekitar jam 8 pagi.

Mangsa merupakan seorang wanita warga India, Vijayaletchumi, 48, yang berasal dari Andhra Pradesh.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesan mangsa memasuki hari keenam dengan pasukan penyelamat telah memperluas operasi pencarian ke enam lurang kumbahan di sekitar ibu negara iaitu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar dan Bulatan Kinabalu.

#DBKL #Foto Lama #Tanah Mendap #Kampung Attap