VIRAL

Tular Individu Pandu Melulu Sehingga Terbabas Di Genting Highlands, Polis Buka Kertas Siasatan

Khairil Khusyairi 24/02/2025 | 03:26 MYT
Tular di media sosial sebuah video yang memaparkan kejadian sebuah kereta dipandu lelaki secara melulu sebelum terbabas di Kilometer 14.7 menghala Genting Highlands, pada Ahad.
Video berdurasi 12 saat itu menunjukkan kereta jenis Honda itu dipandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.
Susulan itu, polis dalam satu kenyataan mengesahkan telah membuka kertas siasatan susulan video yang tular tersebut.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu kereta berusia 27 tahun itu, sudah membuat laporan polis kira-kira jam 11.05 pagi di Balai Polis Goh Tong Jaya pada hari sama.
"Lelaki terbabit memaklumkan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tegas Zaiham, tindakan pemandu terbabit adalah berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.
"Polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah menghubungi pemandu berkenaan untuk tampil memberi keterangan.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Jelasnya, pihak polis juga akan mengambil tindakan tegas serta akan mengadakan operasi secara berterusan untuk memastikan lokasi serta laluan berkenaan tidak dijadikan litar perlumbaan oleh pengguna jalan raya tidak bertanggungjawab.
#Tular #Video #Kereta #Terbabas #“Genting #Highlands” #Laju #Melulu