Jika anda gemar melayari laman sosial, pasti anda pernah ternampak meme seorang wanita bergaduh dengan seekor kucing.

Meme tersebut menunjukkan wanita tersebut menyebut ejaan yang betul dan kucing tersebut dengan selamba membacanya dengan ejaan yang salah.



Meme tersebut menampilkan wanita yang menangis dan kucing garang yang sedang duduk di meja makan.

Persoalannya, dari mana meme tersebut muncul dan siapakah sebenarnya wanita serta kucing berkenaan?

Wanita tersebut adalah pelakon Taylor Armstong dan aksi dia menjerit itu merupakan satu sedutan pergaduhan menerusi drama Real Houswives of Beverly Hills.



Manakala kucing putih garang yang mencuri tumpuan tersebut adalah Smudge the cat yang sangat popular di Instagram

Smudge the cat yang berumur enam tahun tinggal bersama dua adik-beradiknya dan seekor anjing.

Menurut pemiliknya, Miranda Stillabower, gambar meme tersebut diambil secara tidak sengaja ketika Smudge sibuk menyertai mereka sekeluarga sedang makan malam.



Memetik laporan Vice, Smudge mempunyai kerusinya sendiri di meja makan. Jika dia tidak mendapat kerusi, dia akan panjat atas riba sesiapa dan mengiau sepanjang waktu makan.

Kucing yang berasal dari Kanada itu gemarkan ayam dan tak suka makan sayur. Menurut Stillabower lagi, Smudge sememangnya seekor kucing yang memilih makanan.

“Kalau anda perasan meme tersebut, Smudge sedang duduk di atas kerusi ketika salad sedang dihidangkan. Mukanya masam kerana dia tidak gemarkan sayuran,” jelas Stillabower kepada Vice.



Foto Smudge mula muncul di Tumblr pada tahun 2018 dan ketika itulah dia menempa status sebagai sensasi internet sehingga sekarang.

Smudge menggunakan nama Instagram @smudge_lor dan sehingga kini mengumpul hampir 850,000 pengikut.