Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tular Murid Redah ‘Lumpur’, Ahli Parlimen Kota Marudu Cadang Bina Rumah Tumpangan Untuk Pelajar & Guru Berteduh

Izwan Isa
22/01/2024 03:55 MYT
Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Wetrom Bahanda akan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk melihat kesesuaian membina rumah tumpangan khusus untuk murid dan guru berteduh di kawasan Jalan Magandai, Kota Marudu.

Cadangan itu susulan video yang tular memaparkan murid dan guru terkandas selepas kereta yang dinaiki rosak dan menyebabkan mereka terpaksa berjalan kaki meredah lumpur untuk sampai ke Sekolah Kebangsaan (SK) Magandai.

Wetrom berkata, sukar untuk beliau menentukan lokasi rumah tumpangan tersebut memandangkan kerosakan kenderaan selalunya berlaku di tempat yang berlainan.

"Jadi kita akan bekerjasama dan minta pihak sekolah untuk buat cadangan yang sesuai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas mengenai jalan tersebut, beliau menjelaskan bahawa ia sedang dalam pembinaan untuk dinaik taraf.

"Perdana Menteri telah meluluskan untuk menaik taraf jalan ini dengan kos RM279 juta. Memang keadaan jalan ini teruk pada masa kini tetapi dengan siapnya jalan ini, masalah akan selesai," katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya memaklumkan projek pembinaan jalan sejauh 40 kilometer menghubungkan SK Magandai dijangka siap pada tahun 2025.

Beliau dalam kenyataannya sebelum ini turut memaklumkan, jalan itu sedang dalam fasa pembinaan, namun disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik dan struktur tanah lembut menyukarkan kerja pembinaan oleh pihak kontraktor.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, empat kanak-kanak terpaksa berjalan jauh dalam keadaan berlapar dan kepenatan selain terpaksa menumpang tidur di bawah rumah penduduk kampung dalam keadaan kesejukan.

Bagaimanapun, perjalanan yang jauh 'ditemani' lumpur itu tidak mematahkan semangat empat kanak-kanak tersebut untuk ke sekolah.

Sumber: Sinar Harian

#Kota Marudu #Wetrom Bahanda