Penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) Veveonah Mosibin yang tular menjawab peperiksaan di atas pokok dijemput hadir ke Istana Negeri untuk menerima sumbangan Yayasan Nur Jauhar di Kota Kinabalu, Sabah.

Sumbangan yang berupa wang tunai dan barangan keperluan itu disampai oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Menerusi laman sosial Twitter, Jabatan Penerangan Negeri Sabah berkongsi foto-foto kehadiran Veveonah dan ibu bapanya ke Istana untuk tatapan umum.Memetik laporan Bernama, Veveonah, 19, melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak yayasan atas sumbangan itu yang disifatkannya sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

BACA: Pejabat Pendidikan Daerah Pitas Melawat Veveonah Selepas Tular Ambil Exam Atas Pokok

“Pertama sekali saya buat video itu hanya sekadar suka-suka selain ingin berkongsi pengalaman bagaimana saya menjawab peperiksaan dalam talian.

“Saya berterima kasih sekiranya ada pihak mengambil tindakan untuk kemajuan di kampung saya dengan membina menara telekomunikasi dan ini adalah harapan saya kerana internet sangat penting pada masa sekarang," katanya.

Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut mengumumkan rancangan untuk membina menara telekomunikasi di Kampung Bilangau Kecil, Pitas untuk menambah baik liputan internet di kawasan sekitar selepas tersiarnya video berkenaan

Terdahulu, Veveonah yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas, tular di laman sosial apabila video pengalamannya memanjat pokok di kampung demi mendapatkan capaian internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian dimuat naik olehnya di YouTube mendapat perhatian ramai serta reaksi positif wargamaya.

BACA: Kesiannya...Pelajar Ini Terpaksa Panjat Pokok, Dapatkan Internet Untuk Jawab Exam!