Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan berita tular kononnya sukarelawan bernama Adam Loi, merupakan individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 di Malaysia.

KKM menerusi sebuah kenyataan di akaun laman sosial Facebook (FB) memaklumkan, Adam Loi sebenarnya telah menerima vaksin kajian, bukannya vaksin COVID-19.

“Tersebar grafik di atas dalam media sosial yang mendakwa Adam Loi adalah penerima pertama vaksin COVID-19. Gambaran grafik tersebut adalah tidak benar sama sekali.

“Untuk makluman, beliau merupakan sukarelawan yang pertama menerima vaksin kajian COVID-19, dan bukannya vaksin COVID-19,” kata KKM menerusi hantaran tersebut.

Jelas KKM lagi, menurut tatacara kajian klinikal, sukarelawan tersebut berkemungkinan menerima vaksin sebenar ataupun plasebo.

Oleh itu, menurut KKM, penerima vaksin COVID-19 yang pertama di negara ini masih belum ditentukan.

“Adalah menjadi harapan KKM, pencerahan ini dapat memberikan gambaran sebenar mengenai siapa penerima pertama vaksin di Malaysia.

“Pihak yang menularkan grafik tersebut diminta menghentikan sebaran dan memadamnya bagi mengelak kekeliruan terus berlaku di kalangan orang ramai,” kata kenyataan itu lagi.

Adam Loi Bukan Penerima Vaksin COVID-19 Yang Pertama Di Malaysia Kenyataan bahawa seorang sukarelawan yang merupakan...

Posted by KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA on Monday, 1 February 2021