Pendakwah bebas, PU Amin meluahkan rasa bimbang apabila melihat pergaulan bebas di kalangan anak muda semakin berleluasa.

Menganggap perbuatan maksiat sebagai barah, PU Amin telah menitip pesanan menerusi hantaran di Instagram (IG) beliau, merujuk kepada video sekumpulan remaja sedang menari mengikut rentak muzik di dalam kolam mandi sebuah pusat peranginan popular di Kuala Lumpur.

Selain pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan, PU Amin turut menegur tentang SOP di tempat sesak.

“Mantap anak muda, berjoget-joget, bersukaria bagai Covid itu sudah tiada, itu yang pertama. Yang kedua, bagaikan tuhan itu tiada mata, bagaikan siksa dan azab neraka tidak wujud selamanya!

“Syabas anak muda orang Melayu Islam kita, hahaha. Esok kalau berlaku lagi masalah-masalah yang tuhan turunkan kepada kit aitu sebab kita punya dosa la tu.

“Seronok ooo berjoget-joget, suka tu. Ya Allah, itulah…Pihak berkuasa tolonglah ambil tindakan segera, SOP tak patuh berjoget ramai-ramai macam tu dalam air pulak.

“Mazhab mana ni? Takkan tak sekolah setengah tahun perangai teruk berubah macam tu? Ni apa cerita,” tempelaknya.

A post shared by PU Amin (@pencetusummah_amin)


Sementara itu, Kosmo! melaporkan polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap video tular yang memaparkan keadaan sesak pengunjung di Taman Tema Sunway Lagoon.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd. Fairus Jaafar berkata, pihaknya telah mengesan satu video tular yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook @Rizal Hakimm Punyer berdurasi 13 saat berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di taman tema tersebut.

“Sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan isu tersebut.

“Hasil siasatan awal, Taman Tema Sunway Lagoon boleh memuatkan seramai 40,000 orang dalam satu-satu masa manakala kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 adalah seramai 20,000 orang dalam satu-satu masa,” katanya menerusi sebuah kenyataan.

Tambah beliau, pada tarikh kejadian berlaku iaitu 6 November lalu, terdapat seramai 3,513 orang pengunjung yang direkodkan berada di dalam kawasan taman tema tersebut.

“Pihak kami akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya wujud pelanggaran SOP PPN Fasa 4,” kata beliau.

Selain itu, pihaknya juga amat mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut.