BERITA

Tular Video Keadaan Bas Selepas Kemalangan, Bekal Makanan Raya Dari Kampung Bertaburan Undang Sebak - “Dengan Hasrat Bila Sampai Boleh Makan Tapi…”

Khairil Khusyairi 09/06/2025 | 08:50 MYT
Negara dikejutkan dengan berita tragis apabila 15 orang disahkan maut dalam satu kemalangan tragis membabitkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi tadi.
Terbaharu, tular rakaman video yang memaparkan keadaan bas tersebut selepas kemalangan.
Dalam video tersebut, kelihatan barang-barang peribadi mangsa bertaburan di tepi jalan dan di dalam bas, termasuk beg pakaian, serta kelengkapan peribadi lain.
Paling mengundang sebak ialah kelihatan bungkusan makanan raya seperti ketupat dan rendang masih diikat rapi yang dibawa pulang dari kampung.
Menjengah ke ruangan balas, rata-rata netizen meluahkan rasa sedih dan tidak dapat menahan air mata melihat situasi tersebut.
“Mak bekalkan dengan hasrat bila dah sampai boleh la makan buat alas perut sementara nak tunggu hari esok tapi emm masih elok bungkusan bekal dari mak. Sedihnya tengok
mesti mak dia lagi sedih tengok video ni Allahu,” komen netizen sedih.
“Mak bekal serunding ikat getah,” komen netizen sayu.
“Allahu akhbar luluhnya hati bila tengok ada bekal makanan raya dari kampung lagi,” tulis netizen sebak.
“Sedihnya nampak ketupat palas dengan kuah lodeh tu mesti nak makan juadah raya,” komen netizen lain.
“Bekal mak bagi, ketupat nanti sampai boleh lah alas perut dulu hm,” komen netizen sebak.
Sementara itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesahkan 42 pelajar mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan sebuah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik awal pagi tadi.
Difahamkan, bas yang membawa pelajar Upsi itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak.
#Kemalangan #Raya #Makanan #Sebak #“Bas #UPSI”