Tular Video Ropeswing Gendong Anak, Ini Penjelasan Mat Redho

Amri Hassan
Mac 20, 2018 04:51 MYT
Video aksi bekas juara Fear Factor Malaysia, Mat Redho melakukan aktiviti terjunan ropeswing sambil menggendong anak tular di media sosial sejak kelmarin.
Bimbangkan soal keselamatan kanak-kanak yang melakukan aktiviti lasak itu, netizen turut menyelar tindakan Mat Redho melibatkan anak sulungnya, Mecca Mikaela, 2 tahun.
Bagaimanapun, Mat Redho, tampil memberikan penjelasan mengenai tindakan berkenaan.
"Chill guys! Mecca yang minta untuk buat ropeswing. Tiada adegan paksa memaksa untuk ini.
"Mecca sangat enjoy dengan terjunan pertama dan meminta untuk melakukan terjunan kedua. Tetapi saya yang cuak.
"Mecca juga memakai kelengkapan keselamatan seperti harness dan gear.
"Malah, Rentas Adventures (yang mengendalikan sukan ekstrem) itu merupakan syarikat yang diiktiraf," tulisnya di Instagram.
Mat Redho bagaimanapun memberikan amaran untuk tidak melakukan perkara sedemikian tanpa pengawasan dan teknik yang betul.
"Jangan buat ropeswing dengan anak-anak anda sekiranya mereka masih belum bersedia," pesannya.
Sehingga kini video yang memaparkan terjunan Mat Redho dan Mecca telah ditonton lebih 137,000 kali dan mendapat pelbagai komen netizen.
Aktiviti ropeswing setinggi 60 meter menjadi tarikan baharu di Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor sejak kebelakangan ini.
Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: IG @matredho
#Viral #Viral #Mat Redho #Ropeswing