Laman media sosial pada Sabtu lalu kecoh apabila tersebar satu rakaman video seorang lelaki yang didakwa mirip penyanyi Aliff Aziz, 30.

Enggan memanjangkan isu, Bella Astillah yang juga merupakan pelakon, 27, tampil menjelaskan bahawa video itu sudah lama dan dia sendiri tidak ingin mengambil tahu kisah silam suaminya.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Nabellah Awang Astillah berasa kecewa kerana masih ada segelintir individu yang cuba menjatuhkan Aliff serta berasa tidak senang hati melihat suaminya berubah ke arah kebaikan.

"Itu video dah lama sangat tapi apa-apa pun yang sudah terjadi di masa lalu, saya tak nak tahu dan tak nak tengok pun zaman jahil dia. Waktu itu, hati dia mungkin buta.

"Sekarang ini dia sedang mencuba yang terbaik untuk berubah ke arah kebaikan perlahan-lahan. Tapi masih ada yang ingin menjatuhkan dia.

"Mungkin sebab tak senang dengan kebahagiaan dan perubahan Aliff. Wallahualam," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tenang ini menyatakan dia tidak akan berhenti memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuk pemilik nama Muhammad Aliff Aziz.

"Bagi saya, sekarang apa yang jauh lebih penting adalah saya dan keluarga akan terus mendoakan yang terbaik dan tidak akan berhenti memberikan sokongan 100 peratus kepada dia," katanya lagi.

Sebelum ini, video yang berdurasi lebih dua minit itu dimuat naik oleh seorang netizen di laman Twitter.

Usaha Gempak menghubungi Bella sejak malam tadi melalui aplikasi WhatsApp hanya dibaca penyanyi itu tanpa memberi sebarang kenyataan.

Sehingga artikel ini ditulis, video yang memaparkan aksi tidak senonoh itu telah mendapat lebih 22,000 ribu tontonan, 600 ulang kicau (retweets) dan 1200 tanda suka.

Selepas hampir dua tahun dihimpit pelbagai kontroversi dan tinggal bersama keluarga di Singapura, Aliff akhirnya kembali ke pangkuan isteri dan anak-anak di Malaysia pada Disember lalu.

Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Muhammad Ayden Adrian, 3, serta Ara Adreanna yang kini berusia setahun.