Penyanyi popular Indonesia, Tulus gembira apabila penggemar muzik di Malaysia menerima baik kedatangannya.

Membuka langkah dengan mengadakan konsert pertama di Istana Budaya pada September tahun lalu, Tulus bakal menghiburkan peminat di konsert keduanya pada 3 Ogos ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Sebelum ini, saya sendiri tak pasti mengenai penerimaan peminat Malaysia kerana belum pernah berkunjung dan mempromosikan di Malaysia.

"Saya hanya menerima maklum balas dari media sosial sahaja. Tetapi, kunjungan saya untuk mengadakan konsert pertama di Malaysia pada tahun lalu membuka mata saya dan sambutannya membuatkan saya rasa sangat terharu.

"Menerima respon yang sangat baik di Malaysia membuatkan saya lebih bersemangat.

"Insya-Allah, saya bakal mengadakan konsert kedua di Malaysia pada Ogos ini. Konsert yang diberi nama Tulus Sewindu Tour - Kuala Lumpur ini diadakan bersempena tahun ke-8 saya berkecimpung dalam industri muzik," katanya.

Tulus ditemui di sidang media Tulus Sewindu Tour - Kuala Lumpur yang diadakan di Alila Bangsar sebentar tadi.

Dalam pada itu, Tulus juga bakal melakukan persiapan lebih besar berbanding konsert sebelum ini.

"Tahun lalu saya hanya menyanyi diiringi band yang merangkumi lima orang anggota.

"Konsert kali ini akan menampilkan saya bersama 21 pemuzik dan semuanya akan menjadi lebih besar berbanding konsert yang lalu.

"Saya berharap agar konsert ini mendapat sambutan yang baik, lebih-lebih lagi dari Teman Tulus di Malaysia," katanya.

Tulus Sewindu Tour - Kuala Lumpur bakal diadakan pada 3 Ogos 2019, jam 8.30 malam di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Tiket dijual dengan harga bermula RM860 sehingga RM160 dan boleh didapati di www.mytickets.asia.