Tumor 200 Gram Dibuang, Dr. Amalina Kongsi Momen Sebak Selepas Pembedahan Adik Ainul

Amri Hassan
Jun 11, 2019 10:35 MYT
Selepas lebih lima jam bertarung nyawa di bilik pembedahan di sebuah hospital di London, bayi sembilan bulan yang menghidap ketumbuhan di mulut, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat dibedah.
Perkara itu dikongsikan oleh doktor bedah Malaysia, Dr. Amalina Bakri yang turut sama bertungkus lumus dalam prosedur terbabit.
"Alhamdulillah, Ainul, anda bayi yang kuat! Selepas lima jam bertarung di bilik bedah, tumor seberat 200 gram telah berjaya dibuang.
"Anda tak mampu bayangkan betapa saya gementarnya saya ketika itu.
"Ia satu prosedur yang sangat berisiko, pelbagai persediaan, perancangan, imbasan, perbincangan dan kesabaran dilalui sepanjang proses itu demi memastikan adik Ainul selamat.
"Saya berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan bedah ini," tulis Amalina menerusi akaun Instagramnya sebentar tadi.
Prosedur itu turut membabitkan beberapa pakar bedah lain termasuk pediatrik, craniofacial, plastik serta kepala dan leher.
Terkini, adik Ainul dalam keadaan stabil dan sedang dijaga rapi oleh pihak hospital berkenaan di London.
"Apabila saya keluar daripada bilik bedah saya nampak ibu bapa adik Ainul, saya tak dapat mengawal perasaan saya.
"Ia satu perasaan dan pengalaman yang bercampur-baur! Ainul, Wani dan Safi sudah seperti keluar saya sendiri.
"Marilah kita sama-sama doakan agar adik Ainul segera sembuh," tambahnya.
Pada 24 Mei lalu, Ainul Mardhiah bersama ibu dan bapanya terbang ke London bagi mendapatkan rawatan di sebuah hospital di London.
#Viral #Viral #Dr. Amalina Bakri #Ainul Mardhiah